Malaysia Dateline

Jangan abaikan rakyat, kita naik kerana rakyat, kata Perwakilan Kedah

Perwakilan AMANAH Kedah, Ridzwan Abu Bakar mengingatkan AMANAH agar tidak mengabaikan suara rakyat kerana kedudukan parti itu pada hari ini kerana rakyat.

“Jangan lupa Umno jatuh kerana rakyat. Rakyat tidak mahu tahu kita makan apa, kereta apa yang kamu pakai, tapi rakyat mahu tahu apa yang mereka dapat.

“Kena buktikan kita bersama-sama rakyat,” katanya mengambil bahagian membahaskan pidato Presiden pagi ini.

Beliau turut menegur beberapa pimpinan AMANAH yang tidak kelihatan bersama-sama perwakilan ketika waktu makan yang disediakan penganjur di luar dewan konvensyen.

“Kita tidak nampak Dr Dzul, kita mai sama-sama rakyat, kita naik kerana kuasa rakyat. Kita lupa rakyat marhain. Kita terkenal dengan gelaran Datuk Seri, Tan Sri,” ujarnya yang disambut dengan sorakan daripada perwakilan.

Malah katanya, apa yang disebut oleh Presiden jangan memperkecilkan rakyat dan jangan sekali-kali memperbodohkan rakyat perlu dihadam oleh para pemimpin parti itu.

“Sesungguhnya rakyat berani berubah dan mereka akan terus berubah,” katanya yang diikuti tepukan gemuruh para perwakilan.

Beliau turut mencadangkan agar pemimpin yang berjaya sebagai pengerusi negeri tidak lagi dilantik sebagai jawatankuasa di peringkat nasional.

“Bagilah peluang kepada orang lain juga,” katanya.