Malaysia Dateline

‘Jangan ada ahli politik pertaruh isu kaum sebagai talian hayat’

Sudah sampai masanya pimpinan utama semua parti politik bersedia untuk mengunjurkan ‘penjajaran pemikiran politik’ yang baharu demi melihat kepentingan rakyat dan negara benar-benar menjadi satu realiti dan bukanlah hanya mimpi.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penjajaran pemikiran baru dalam kepimpinan politik mestilah mampu menjadi “game changer” yang sifatnya bukan biasa-biasa mahupun mengulangi kebiasaan lama dan kuno yang akan terus memenjarakan rakyat dan negara.

Beliau berkata, penjajaran pemikiran baru sewajarnya berteraskan kepada agenda besar seperti keupayaan untuk meletakkan noktah kepada isu perkauman dan agama yang sempit dan ekstrem.

“Ini memerlukan iltizam politik yang tinggi daripada kepimpinan politik untuk duduk semeja mencari titik kebersamaan.

“Biarlah anak-anak Malaysia dalam jangka waktu sedekad ini merasakan negara kita adalah milik bersama dan redha jasad dan roh kita disemadikan di tanah tercinta ini.

“Tidak ada lagi pimpinan politik yang mempertaruhkan isu kaum dan agama sempit lagi ekstrem sebagai ranting zaitun atau talian hayat mereka,” katanya dalam satu “catatan senja” hari ini.

Pada masa sama kata Ahli Parlimen Pulai itu berkata, satu konvensyen penjajaran baru pemikiran politik negara boleh dianjurkan demi mencapai maksud dinyatakan.

Menurut bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkenaan, podium tersebut boleh mencerna pemikiran, sikap, tingkah laku, pesona dan idea besar pimpinan politik untuk mencapai hasrat yang murni dan agung itu.

Malah katanya, banyak kerajaan besar, dinasti, empayar serta tamadun yang dibina atas keberanian menggagaskan pemikiran besar dan dijajarkan orang politik yang berjiwa besar.

“Mungkin angin segar dan dingin pada hujung Disember 2020 ini mampu terus bertiup sopan merentas bayu hangat Januari 2021 yang pastinya menjanjikan cabaran Malaysia yang sukar diduga,” kata Salahuddin lagi.