Malaysia Dateline

Jangan ada pihak merasa kebal dengan PKP

Tidak ada mana-mana pihak termasuk pemimpin kerajaan yang harus merasa kebal terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah mereka sendiri mengarahkan rakyat supaya patuh pada perintah tersebut.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad ketika diminta mengulas mengenai keengkaran dan ketidakpatuhan PKP oleh pemimpin kerajaan PN.

“Pemimpin kerajaan PN jangan cuba memperbodohkan rakyat melalui peraturan dan undang-undang yang mereka sendiri tidak patuhi kerana setiap tindak-tanduk mereka yang engkar kepada PKP mudah terserlah dan diperhatikan secara dekat oleh rakyat yang telah dengan begitu mudah dihukum.

“Sekiranya pemimpin mempamerkan kepatuhan yang jitu bagi sesuatu arahan maka amalan yang samalah akan dituruti oleh mereka yang berada d ibawah.

“Namun begitu sekiranya pemimpin tersebut sendiri mengengkari apa yang telah mereka tetapkan, sudah tentu ia ibarat bidalan Melayu umpama kata dulang paku serpih, kata orang tapi dia yang lebih,” tegas beliau.

Menurut Dr Roslan lagi, dalam suasana menangani penularan wabak Covid-19 kerajaan telah mengenakan PKP dengan tujuan untuk menghadkan pergerakan dan mengurangkan interaksi orang ramai dengan mengamalkan ‘social distancing’.

Malah sektor-sektor perniagaan dan ekonomi yang hendak dan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP pun tertakluk kepada kelulusan dan protokol kesihatan serta keselamatan.

Tegasnya, kebenaran operasi pula dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan MITI dan perintah ini adalah terpakai kepada semua pihak tanpa ada yang merasa kebal dengan arahan ini.

“Ketegasan dan keseriusan kerajaan menguatkuasakan PKP fasa ketiga ini terbukti dengan jumlah tangkapan dan kompaun pelbagai kesalahan pergerakan keatas rakyat marhaen yang dikeluarkan oleh PDRM.

“Malangnya penguatkuasaan PKP seolah-olah bersifat ‘double-standard’ atau dua darjat kerana digemparkan dengan pelanggaran arahan PKP oleh Timbalan Menteri, Exco Kerajaan Negeri, Menteri Besar maupun mantannya sepertimana yang dilaporkan.

“PDRM harus tunjukkan sikap profesional mereka dan konsisten dengan mengambil tindakan segera dan adil serta spontan tanpa lengah terhadap pemimpin kerajaan tersebut sepertimana yang telah mereka lakukan terhadap rakyat marhaen sehingga semalam,” saran beliau.

Tambahnya lagi, sekiranya rakyat dikenakan kompaun dengan spontan dan dibawa ke mahkamah, maka buktikan bahawa undang-undang sedia ada merupakan undang-undang yang diterima pakai bukan saja untuk rakyat tetapi juga untuk pemimpin kerajaan yang melanggar PKP, apa lagi dengan bukti yang begitu jelas dan ketara.