Malaysia Dateline

Jangan ada taktik nak lengahkan perintah Agong, kata MT Umno

Umno berharap Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mematuhi titah Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu supaya Parlimen bersidang secepat mungkin.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berharap, tidak ada lagi taktik untuk melengah-lengahkan titah Yang Dipertuan Agong itu.

“Semoga PM 8 akan patuh pada kedua dua titah YDP Agong dan Majlis Raja Raja Melayu. Semoga tidak ada lagi delay tactic,” kata beliau menerusi facebooknya.

Sebaik sahaja Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja menitahkan agar Parlimen bersidang segera, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Seri Takyuddin Hassan berkata, Perdana Menteri sudah berjanji untuk membuka Parlimen September ini.

Oleh itu, katanya, ia adalah masa yang sesuai kerana Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja tidak menetapkan tarikh yang dikatakan cepat itu.

Dalam pada itu Puad juga yakin, keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah tepat.

Beliau juga mendesak agar Menteri Luar dari Umno Datuk Seri Hishammuddin Husain turut mendesak Kabinet supaya Kerajaan PN patuh kepada titah YDP Agong dan Majlis Raja Raja Melayu.

Semalam Hishamuddin menulis panjang satu artikel yang bertajuk “Melangkaui Politik Dan Pandemik”.

Menurut beliau, seruan agar Parlimen kembali bersidang tidak boleh dijadikan alat pemuas nafsu politik sesetengah individu.

“Bagaimana dengan mereka yang menggantung Parlimen tanpa sebab kukuh dan kini terbukti gagal? Apakah itu bukan memuaskan nafsu politik mereka?” soal bekas timbalan Menteri kerajaan Barisan Nasional itu.