Malaysia Dateline

Jangan ambil gambar semasa beri bantuan, pesan Nik Jah

Semua pemberi bantuan kepada mereka yang mengangkat bendera putih diminta tidak mengambil gambar dan menyebarkan gambar itu kerana ia dikenalpasti sebagai punca ramai golongan yang susah tidak mahu mengangkat bendera putih untuk meminta bantuan.

Nik Faizah Nik Othman atau lebih dikenali sebagai Nik Jah berkata, berdasarkan kajian dan pengalaman beliau sebagai aktivis masyarakat, tindakan mengambil gambar dan meletakkannya dalam media sosial menyebabkan penerima bantuan merasa tidak senang dan selamat.

“Oleh itu, saya seru kepada NGO dan orang ramai yang memberi bantuan ini, jangan ambil gambar bila beri bantuan. Insya Allah, jika mereka merasa selamat,  semua yang memerlukan bantuan ini akan mengangkat bendera putih selepas ini jika mereka memerlukan bantuan,”kata Nik jah yang juga Timbalan Ketua Wanita AMANAH (Awan) Kelantan itu dalam satu forum online malam tadi.

Nik Jah Sany dan Hazmin dalam forum maya malam tadi

Nik Jah berkata demikian dalam satu forum anjuran AMANAH Kelantan malam tadi. Selain beliau, penal lain adalah Sany Hamzan, Adun Taman Templer Selangor manakala Hazmin Hassan adalah moderator forum secara maya itu.

Menurut Nik Jah, berdasarkan pengalaman beliau di Kelantan, kerana takut implikasi dari menaikkan bendera putih dan meminta bantuan itulah menyebabkan mereka yang susah tidak diketahui orang ramai dan tidak menaikkan bendera putih.

“Untuk mengelakkan perkara ini, kalau boleh jangan ambil gambar apabila memberikan bantuan itu. Ini kerana kesan kepada penerima bantuan itu besar. Mereka tidak akan rasa secure atau selamat,” kata beliau yang merupakan aktivis NGO yang dipercayai memulakan kempen menaikkan bendera putih ini.

Menurut Nik Jah, masalah utama aktivis NGO yang mahu memberikan bantuan ini adalah mereka tidak tahu siapa yang memerlukan bantuan.

Atas sebab itu, beliau mencadangkan idea kibarkan bendera putih bagi yang terputus bekalan makanan dan memerlukan bantuan.

Namun, realitinya di Kelantan ini, agak sukar untuk golongan susah ini mengangkat bendera putih kerana mereka takut akibat dari tindakan itu.

“Realiti di Kelantan ini, rumah orang kampung terutamanya di bina dekat-dekat dan kebanyakan rumah adalah bersaudara mara antara satu sama lain.

“Bila dia angkat bendera putih dan orang ramai pergi bantu, dan gambarnya tersiar dalam media sosial, saudara mara mereka tu akan pergi marah kepada dia.

“Tok penghulu (ketua kampung) pun akan pergi marah, buat malu aku je, kata dia. Padahal sebelum inipun, mereka pun tak pergi tanya khabar pun dana bantu. Nak pergi hutang beli beras dan makanan di kedai pun, tuan kedai sudah masam mencuka dah.

“Ini menyebabkan orang yang susah ini enggan mengangkat bendera putih walaupun sangat memerlukan bantuan. Padahal dia sangat susah.

“Jadi, saya minta, bila ada orang angkat bendera putih, pergi bantu tetapi jangan ambil gambar. Kalau nak ambil pun, biar dengan persetujuan dia dan untuk koleksi peribadi sahaja bukan untuk dikongsi di media sosial,” kata Nik Jah.

TIGA GOLONGAN DI KELANTAN

Menurut Nik Jah, ada tiga golongan yang penerima dan memerlukan bantuan di Kelantan sekarang ini.

“Yang pertama, memang jenis suka minta bantuan. Golongan ini walaupun senang, tetapi bila nampak bantuan hendak diberi, dia cepat-cepat pergi tanya, saya tak ada ke, tanya mereka kepada kita apabila kita nak bagi bantuan kepada orang ramai.

“Golongan kedua adalah mereka tercicir dari senarai bantuan yang diberikan oleh ajensi kerajaan. Mungkin kerana dia orang luar yang tinggal di kampung itu atau dia tidak campur dengan orang lain kerana masalah mereka tersendiri. Orang sekitar juga tidak sedar kehadirannya.

“Golongan ketiga adalah mereka dahulunya dalam golongan M40 ataupun hidup senang. Hidup senang tetapi akibat dari PKP, mereka kena buang kerja, perniagaan rugi atau kontraktor kecil yang tidak boleh membuat kerja kerana PKP.

“Orang tak sangka dia sudah jatuh golongan B40 kerana rumah dia agak besar, ada kereta dan sebagainya. Padahal dia nak makan pun sudah dah. Dia pula malu nak minta bantuan.

“Golongan ini malu hendak pergi mengadu dia perlukan bantuan. Kalau dia pergi pun orang tak percaya,” kata Nik Jah yang berharap dengan kempen kibar bendera putih untuk golongan yang memerlukan ini, orang ramai boleh membantu mereka.