Malaysia Dateline

Jangan ambil kesempatan ke atas pesakit Covid-19

Seharusnya tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan keatas pesakit termasuklah mengenakan caj berlebihan dan melampau terhadap mereka yang mendapatkan rawatan ketika wabak Covid-19.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan beliau hari ini.

Jelasnya, adalah amat dikesali kerana terdapat institusi hospital swasta yang mengenakan caj yang berlebihan sehingga membebankan pesakit yang menerima rawatan.

Mohd Azmi Abdul Hamid
MOHD AZMI HAMID

“Laporan media yang mendedahkan terdapat hospital swasta yang mengenakan bil bayaran pada item pelindung muka dengan harga yang tidak munasabah serta membuktikan wujudnya kecenderungan hospital swasta mengenakan caj yang tidak masuk akal.

“Samada pesakit tersebut dilindungi oleh insuran atau sebaliknya bukan suatu isu, sebaliknya membenarkan mengenakan caj sesuka hati keatas item yang dikategorikan sebagai barangan kawalan oleh KPDNHEP adalah suatu amalan yang tidak harus dibiarkan berleluasa.

“Pihak berkuasa perlu memantau dan menyemak mekanisme yang digunakan oleh institusi perubatan seperti hospital yang menetapkan caj bagi setiap item alat maupun khidmat yang diberikan, sekalipun ianya atas nama hospital swasta atau hospital pakar,” tegas beliau.

Tambahnya, KKM disarankan supaya memantau pelaksanaan peraturan fi perubatan dan caj yang dikenakan serta menyiasat sebarang pelanggaran peraturan yang telah ditetapkan.

Beliau juga berkata, pengamal dan institusi perubatan swasta digesa supaya lebih beretika dalam memberi khidmat perubatan kepada semua pesakit dan menampilkan Malaysia sebagai sebuah negara yang prihatin kepada pesakit dan bukannya berperanan sebagai peraih keuntungan.