Jangan ambil mudah peralihan monsun, JPS bagi amaran banjir kilat akan berlaku

Oleh NASUHA RAHMAN

Penduduk yang berada di kawasan rendah dan berhampiran sungai agar sentiasa peka, berwaspada dan bersiap sedia menghadapi fasa peralihan monsun.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan orang bahawa fasa tersebut yang dijangka bermula 14 Mac dan berterusan sehingga pertengahan Mei depan.

Keadaan ini menurut Ketua Pengarahnya Datuk Md Nasir Md Noh akan menyebabkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

Jangan ambil mudah peralihan monsun, JPS bagi amaran banjir kilat akan berlaku
Banjir kilat memusnahkan harta benda

Situasi ini katanya berlaku kejadian banjir kilat dan sangat bergantung kepada keupayaan sungai, sistem saliran, kolam takungan, pintu air, rumah pam, pam mudah alih dan lain-lain infrastruktur banjir sedia ada.

“Sebagai persiapan, JPS sentiasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan semua infrastruktur berkenaan secara berkala supaya berfungsi dengan baik termasuk ban dan tebing sungai yang dipantau rapi untuk memastikan tindakan serta-merta dilaksanakan apabila berlakunya kejadian ban pecah atau tebing runtuh.

“Orang ramai juga diingatkan untuk tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga persekitaran supaya aliran sungai tidak terhalang,” katanya dipetik Bernama.

Selain itu Md Nasir berkata JPS turut melaksanakan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) bagi meramal dan mengeluarkan amaran banjir untuk membantu pasukan penyelamat dan orang ramai bersiap menghadapi banjir yang kini telah pun beroperasi penuh di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Pada Jumaat lepas, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah menyatakan Malaysia dijangka mengalami fasa peralihan monsun bermula esok hingga pertengahan Mei depan, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut sejak 3 Nov lepas.

Muhammad Helmi berkata semasa fasa itu, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

Maklumat lanjut mengenai hebahan amaran banjir, status aras air sungai dan kelebatan hujan di seluruh Malaysia boleh diperoleh melalui laman sesawang Public Infobanjir iaitu;

https://publicinfobanjir.water.gov.my atau memuat turun aplikasi mobile apps, MyPublicInfoBanjir.