Malaysia Dateline

Jangan ambil ringan larangan menzalimi sesama manusia

Di dalam membicarakan 40 hadis berkenaan keadilan sosial, Sheikh Omar Sulaiman dari Yaqeen Institute membawakan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Al Ghifari yang direkodkan oleh Muslim (Hadis 6737). Ianya merupakan hadis yang panjang.

Sheikh Omar menekankan bahagian:

‎يَا عِبَادِى إِنِّى حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِى وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلاَ تَظَالَمُوا

“Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku menjadikan kezaliman itu haram di antara kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi.

Di antara perkara-perkara yang ditekankan ialah:

1. Ini adalah seruan kepada kesemua hamba Allah dan bukan kepada orang Islam sahaja

2. Allah menginggatkan kita bahawa kita hanyalah Hamba Nya. Jika Allah mengharamkan kezaliman ke atas Nya, siapa kita yang berani menzalimi di antara satu sama lain?

3. Manusia tidak diciptakan oleh Allah untuk menzalimi makhluk-makhluk yang lain

4. Siapa yang memberikan kita hak untuk berlaku zalim? Ini bermakna orang yang melalukan kezaliman telah melanggar perintah Allah secara terang-terangan.

5. Larangan untuk tidak menzalimi bukan terhad kepada sesama orang Islam sahaja tetapi meliputi hamba-hamba Allah yang lain termasuk orang-orang bukan Islam
Kezaliman ialah meletakkan keadilan di tempat yang salah. Ianya boleh berlaku apabila melakukan sesuatu melebihi hadnya atau pun gagal melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan.

Kezaliman yang paling besar ialah mensyirikkan Allah. Hak Allah sebagai Pencipta adalah untuk disembah oleh hamba-hambaNya. Apabila mereka meletakkan ciptaan-ciptaan lain di kedudukan sebagai Pencipta, mereka telah melanggar hak Allah dan menjadi zalim.

Diri kita perlu diselamatkan dari azab dan siksaan Allah. Apabila kita melakukan dosa, kita telah menzalimi diri kita kerana meletakkan kita di dalam azab Allah.

Ada pelbagai orang yang mempunyai hak ke atas kita berdasarkan kedudukan-kedudukan yang kita ada di dalam keluarga, perniagaan, pejabat dan kedudukan di dalam masyarakat seperti pegawai kerajaan, hakim, penguatkuasa undang-undang dan ketua pentadbiran. Apabila kita gagal memberikan hak-hak mereka atau pun melanggar hak mereka, kita menjadi zalim.

Saya cadangkan anda mendengar sendiri kuliah beliau yang amat menarik ini. Klik imej di bawah.