Jangan ambil risiko dengan menolak suntikan vaksin, pesan exco kesihatan

Jangan ambil risiko dengan menolak suntikan vaksin, pesan exco kesihatan

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Daroyah Alwi, berkata penafian vaksin menyebabkan dasar 95 peratus warga tempatan mengambil suntikan akan tergendala.

Beliau menyeru semua ibu bapa supaya memberi kerjasama dalam menjayakan program suntikan vaksin kepada anak-anak demi kesihatan dan kelestarian hidup mereka.

Katanya, ia sekali gus meletakkan masyarakat dan negara dalam keadaan berisiko dengan wabak yang sepatutnya boleh dielakkan dengan pengambilan vaksin.

“Agenda Smart Selangor juga antara lainnya mewujudkan persekitaran kondusif dan sihat demi memastikan rakyat Selangor menikmati kesihatan hidup optimum sepertimana ditegaskan DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam titah ucapan baginda,” katanya dalam kenyataan yang dilaporkan Selangorkini, hari ini.

Daroyah berkata, masyarakat dinasihatkan supaya bersikap positif dalam menangani isu vaksin yang heboh diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Katanya, ibu bapa yang menolak vaksin juga boleh mengakibatkan kesejahteraan masyarakat dalam keadaan berisiko.

“Ini adalah tanggungjawab bersama sebagai entiti masyarakat kerana kesannya bukan hanya terhadap diri sendri, malah kepada masyarakat dan orang sekeliling lebih-lebih lagi ia melibatkan nyawa orang tersayang,” katanya.

Pada masa sama, Daroyah berkata, Selangor masih bebas Wabak Difteria dan beberapa strategi pencegahan sudah dirangka Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Beliau berkata, ia termasuk menjalankan aktiviti ‘mopping up’ bagi kawasan yang dikenal pasti berisiko seperti kawasan didiami ramai penduduk warga asing, kawasan yang mempunyai ramai ibu bapa antivaksin dan kawasan yang penduduknya ramai miskin atau miskin tegar.

“Aktiviti promosi pendidikan kesihatan kepada masyarakat berkenaan kepentingan imunisasi dan gejala penyakit Difteria akan diperhebatkan melalui hebahan dan pendidikan kesihatan di klinik, hospital dan edaran phamplet serta poster ke pusat jagaan kanak-kanak.

“Hebahan juga disampaikan melalui media cetak, elektronik serta media sosial supaya masyarakat mendapat maklumat tepat dan terkini bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 11 kes disahkan dijangkiti Difteria iaitu tiga kes di Melaka, lapan kes di Kedah dan hanya tiga daripada keseluruhan kes mempunyai sejarah imunisasi lengkap.

COMMENTS

Wordpress (0)