Jangan anggap anak muda bangang fahami krisis kepimpinan di Kedah

Jangan anggap anak muda bangang fahami krisis kepimpinan di Kedah

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyelar kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kerana menyalahkan anak muda negeri itu yang tidak faham mengenai perubahan politik di Kedah.

Beliau berkata, kenyataan Ahmad Bashah yang mendakwa anak muda negeri itu memandang serong dan marah kepadanya ekoran krisis pertukaran MB Kedah sesuatu yang menyedihkan dan memilukan kerana menyalahkan golongan muda.

“Kepada Ahmad Bashah jangan cuba menyalahkan anak muda dan meletakan anak muda tak faham apa yang berlaku dalam krisis politik Kedah yang membawa kepada pertukaran MB daripada Mukhriz kepada Ahmad Bahshah.

“Jangan anggap anak muda Kedah bangang dan tidak berpelajaran sehingga tak tahu apa yang berlaku dan tak faham politik,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mahfuz, anak muda di Kedah mahukan perubahan politik yang telus bukannya perubahan kerana percaturan jahat untuk memenuhi impian Putrajaya yang berdepan dengan krisis politik akibat skandal negara dan sindiket penipuan 1MDB.

“Ahmad Bashah hanya jadi MB untuk kepentingan politik Najib dan Umno bukan untuk kepentingan rakyat Kedah.

“Alasan penyingkiran Mukhriz kononnya beliau tak buat sesuatu untuk Umno Kedah. Mukhriz dituduh tak jaga Umno. Anak muda tak nak MB yang yang jaga kepentingan politik Najib dan Umno yang dah busuk sampai ke usus,tapi anak muda nak MB yang jaga negeri dan rakyat.

“Anak muda melihat yang patut disingkir ialah Najib dari jawatan PM Malaysia bukannya Mukhriz sebagai MB Kedah.

“Anak muda melihat kesalahan Najib yang membawa mudharat besar pada negara dan rakyat bukanya Mukhriz,” ujarnya.

Justeru katanya lagi, Ahmad Bashah jangan salahkan anak muda dengan menuduh mereka tidak faham dan merendahkan tahap keupayaan intelek anak muda Kedah.

“Ahmad Bashah dan pimpinan Umno Kedah jangan menghina anak muda Kedah yang bertindak menolak kepimpinannya dengan akal budi yang tinggi.Mereka tahu apa yang mereka lakukan untuk negeri Kedah.” ujarnya.

Ahmad Bashah, yang juga Adun Bakar Bata mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah baharu pada 4 Februari bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ketika meraikan 100 hari pelantikannya sebagai MB Kedah Ahmad Bashah dipetik mengakui berkata,masih ada generasi muda yang memandang serong dan marah kepadanya disebabkan krisis pertukaran Menteri Besar pada 4 Februari lepas kerana mereka tidak memahami perubahan dan keperluan itu dalam politik.

“Perubahan kepimpinan akan berlaku dari masa ke masa, mungkin suatu hari nanti, generasi muda akan faham kenapa perubahan itu berlaku,” katanya ketika ditanya pihak media.

TAGS