Calon Presiden umno Khairy Jamaluddin yakin Umno akan menerajui negara ini semula pada PRU15 nanti jika parti itu bersedia melakukan peralihan generasi Umno bermula dari sekarang.
Katanya, rakyat pada hari ini tidak lagi melihat kepada individu dengan individu sebaliknya mereka lebih mengutamakan hujah lawan hujah.
Bahkan katanya, kepincangan yang berlaku hari ini bukan kerana kesilapan Umno tetapi kerana perbuatan pemimpin Umno itu sendiri.
“Umno tidak berdosa, hilang mandat kerana kepimpinan Umno. Kesilapan saya kerana melindungi kebenaran pucuk pimpinan parti.
“Saya memohon maaf kerana saya gagal sampaikan kebenaran pada waktu itu,” katanya di dalam Debat Calon Presiden Umno yang disiarkan secara langsung di Astro Awani malam tadi.
Beliau turut mengakui ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi berusaha memajukan Umno dan sayang kepada parti itu supaya perkara ini tidak lagi berulang selepas ini.
“Jangan tangguh pemilihan Umno. Cakap yang benar walaupun pahit dan percaya kepada ahli kerana mereka yang hampir kepada rakyat biasa. Kekebalan presiden tidak ada lagi. Kita tidak boleh buat pekak dengan suara rakyat,” ujarnya.
Menjawab soalan moderator mengapa beliau masih bersama Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga PRU14 walaupun tidak mempertahankan skandal 1MDB, Khairy mengakui tindakannya itu satu kesilapan.
“Saya akui satu kesilapan, selepas PRU lepas ia satu kelemahan sebab tidak suarakan isu 1MDB maka terjadilah apa yang berlaku pada hari ini.
“Sebab itu saya tegaskan jangan angkat presiden sebagai dewa politik,”katanya.
Dalam pada itu, beliau menolak hujah Tengku Razaliegh Hamzah bahawa kemerosotan undi orang muda menyebabkan Umno mengalami kekalahan teruk pada PRU14 lalu.
Katanya, kemerosotan peratusan undi bagi Umno bukan daripada saluran orang muda sahaja bahkan hampir kesemua saluran termasuk saluran satu dan dua.
Kemerosatan ini katanya, disebabkan Umno sendiri yang terpaksa menanggung beban skandal yang besar dan terpaksa menegakkan benang yang basah.
“Total lost” tegas Khairy setelah disoalkan Tengku Razaliegh.
Khairy menyatakan ikrar setianya akan tetap bersama Umno walaupun beliau tidak dipilih sebagai presiden pada pemilihan kali ini.
“Sebagai calon saya akan bersama akar umbi dan bekerja sepanjang hayat,” katanya.
Beliau sempat memberi pesanan kepada perwakilan yang akan membuat pemilihan hari ini agar menggunakan suara hati untuk membuat pilihan terbaik dan mengenepikan ‘chai’ yang mungkin ada sewaktu pemilihan nanti.
Debat Presiden Umno buat julung kalinya diadakan menjelang pemilihan parti itu yang akan berlangsung hari ini.
Persaingan sengit antara tiga calon presiden iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaliegh Hamzah dan Khairy Jamaludin telah mengundang perhatian umum sehingga tercetusnya debat malam tadi.