Malaysia Dateline

‘Jangan asak orang Mahathir cari sekutu baru’

Desakan keterlaluan agar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya dibimbangi akan menyukarkan lagi proses peralihan kuasa, kata penganalis politik, Ahmad Lutfi Othman.

Kolumnis Mingguan Amanah itu berpendapat asakan yang tidak berkesudahan terutama dari kumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan mengeruhkan keadaan.

“Padahal, Dr Mahathir adalah Perdana Menteri juga Pengerusi PH. Desakan supaya Dr Mahathir melepaskan jawatan seolah-olah meletak kesalahan pada Majlis Presiden,” ujarnya.

Beliau mengingatkan bahawa Mahathir telah pun berjanji akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar sekitar November nanti.

“Tinggal beberapa bulan saja. Sabarlah. Jangan sampai ke tahap kumpulan tertentu dalam PH membentuk sekutu baru. Jangan asak orang Mahathir sehingga mereka hilang setiawakan kepada PH.

“Usah dipaksa ke tahap itu. Jangan kita sebagai kawan ini menganggu proses pemantapan PH,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Ahmad Lutfi mengulas desakan beberapa ahli parlimen PKR supaya Mahathir menyerahkan jawatan kepada Anwar pada Mei tahun ini.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan usaha mencari titik persefahaman antara penyokong tegar Mahathir dan Anwar menjelang PRU-14 pada 2018 lalu bukannya mudah.

“Kalau dari permukaan nampak baik-baik saja tapi di dalamnya, kita tidak tahu.

“Namun, apa yang berlaku pada masa ini, kita hanya memarakkan lagi api yang sebelum ini mungkin masih terkawal. Saya bimbang akibatnya yang terbakar adalah kita semua,” tegasnya.

Dalam masa sama, bekas Ketua Pengarang Harakah itu menyifatkan desakan keterlaluan terhadap Dr Mahathir hanya memburukkan imej PH di mata majoriti rakyat termasuk pengundi atas pagar.

“PH bukan kuat sangat dan dalam masa sama keyakinan rakyat merosot. Ini suatu suasana baru.

“Mana-mana pemerintah selepas ini tidak dapat kedudukan sama seperti BN dulu. Sekarang sudah berbeza,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Lutfi menyeru kedua-dua penyokong agar memahami sensitiviti masing-masing dengan pihak pro Anwar tidak harus dilihat merosakkan proses peralihan kuasa.

“Jasa Dr Mahathir paling besar ialah menghadiahkan kemenangan PH pada PRU-14 lalu. Itu fakta. Kita menghargai Dr Mahathir dan kita juga tentunya menghargai Anwar.

“Dr Mahathir tanpa Anwar Ibrahim, tidak berjaya. Anwar pun sedar tanpa Dr Mahathir, PH juga tidak berjaya menang pilihan raya.

“Dalam masa sama, pimpinan setiap parti komponen PH juga kita hargai. Semuanya saling melengkapi,” jelasnya.

Penulis buku, “Mengapa Mahathir? : Dan impian Pas menjadi kingmaker dalam PRU14” itu juga berkata, kejayaan besar PH ialah mengekalkan kestabilan dan keamanan selepas PRU pada 9 Mei 2018.

“Adakah tiada langsung kejayaan yang dicapai oleh PH di bawah teraju Dr Mahathir dalam agenda perubahan?

“Ada. Tidak wujud kacau-bilau di kedua-dua pihak kerana adanya faktor Dr Mahathir,” tegas Ahmad Lutfi lagi.