Malaysia Dateline

Jangan bahayakan demokrasi dan kedaulatan undang-undang

Presiden Majis Peguam Malaysia, Salim Bashir mengingatkan kerajaan agar tidak menjadikan proklamasi darurat sebagai hal yang boleh membahayakan demokrasi dan kedaulatan undang-undang negara.

Ini kerana katanya, hampir tidak ada mekanisme yang bertindak sebagai semak dan imbang terhadap kuasa kerajaan susulan penggantungan Parlimen sepanjang tempoh darurat.

“Kami berharap bahawa mana-mana undang-undang yang dimaksudkan oleh Eksekutif untuk tujuan memperkuatkan penguatkuasaan bagi mengekang penyebaran Covid-19, tidak akan terlalu keras.

“Majlis Peguam Malaysia sama-sama prihatin terhadap akibat yang berlaku dari pelaksanaan darurat ini kepada hak asasi manusia dan kebebasan sivil.

“Walaupun darurat telah diisytiharkan, hukum undang-undang (rule of law) perlu tetap dilindungi, setiap saat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada masa sama beliau berkata, langkah-langkah penjagaan kesihatan dan tahap sanitasi yang memuaskan sebenarnya sudah cukup untuk diterapkan di bawah undang-undang sedia ada tanpa perlu membuat permintaan mengisytiharkan darurat.

Menurutnya, biarpun darurat akan bertindak menghentikan segala kemelut politik, namun ianya akan memberi kesan kepada sempadan negara termasuk ekonomi dan hak dalam perlembagaan.

Badan Peguam Malaysia juga meminta agar kerajaan dan parti-parti politik untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dalam mengekang penularan wabak Covid-19.