Jangan banding dengan kes saya, kata Khir Toyo kepada Guan Eng

Jangan banding dengan kes saya, kata Khir Toyo kepada Guan Eng

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo mahu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhenti membandingkan kes beliau dengan kes yang pernah dihadapinya sehingga dikenakan hukuman penjara.

Beliau kesal dengan kenyataan Lim bahawa, “Tidak seperti kes Khir Toyo, Cik Phang tidak rugi RM 5 juta, malah memperoleh keuntungan kecil sebanyak RM 300 ribu daripada harga asal RM 2.5 juta. Tidak seperti kes Khir Toyo, Cik Phang bukanlah pemaju perumahan yang harus bergantung kepada kerajaan negeri untuk meneruskan perniagaannya.”

Sedangkan menurut beliau, “tidak seperti Lim yang membeli rumah yang lengkap dan sedia diduduki, dia meninggalkan fakta bahawa saya membeli sebuah rumah separuh siap tanpa CF dengan harga RM 3.5 juta.”

Harga ini katanya, mengikut penilaian penilai hartanah yang berwibawa dan bank antarabangsa.

“Harga asal RM 6.5 juta merupakan sebuah rumah lengkap sekali dengan perabot (fully furnished). Ia sudah merupakan dua entiti yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan hari ini.

Beliau mengingatkan Lim bahawa keputusan Mahkamah ke atasnya langsung tidak mengambil kira hakikat penjual rumah saya tidak mendapat apa-apa keistimewaan dari Kerajaan Negeri Selangor pimpinan saya.

“Malah permohonan syarikat Shamsudin yang disokong oleh saya juga ditolak oleh PKNS.

“Saya bersalah kerana dalam pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan bukanlah kerana mengambil rasuah, tetapi kerana menyalahguna kedudukan sebagai penjawat awam untuk mendapatkan sesuatu barangan berharga dengan balasan tidak mencukupi (lebih murah dari nilai sebenar) dari seseorang yang mempunyai urusan rasmi dengan saya.

“Dalam kes saya, Mahkamah mendapati saya bersalah kerana saksi Pendakwa, Shamsuddin Haryoni, memberitahu Mahkamah beliau tidak setuju dengan harga RM 3.5 juta tetapi terpaksa menjualnya kerana bimbang perniagaan beliau di Selangor terjejas,” katanya.

Kes beliau katanya tidak sama dengan ke Lim Guan Eng kerana Lim turut didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang tentunya membabitkan kesalahan lebih serius.

Beliau turut kesal kerana ketika dihukum penjara, DAP menganggap ia satu kemenangan besar mereka.

“Justeru, sungguhpun saya bersimpati dengan nasib Lim Guan Eng, saya fikir kenyataan paling tepat untuk DAP ialah seperti yang diungkapkan oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan, – “Padan Muka,” katanya.

Bagi Dr. Khir, pendakwaan ini adalah “Poetic Justice”.

COMMENTS

Wordpress (0)