Jangan banding kereta mewah dengan unta Nabi, pinta MAZA

Jangan banding kereta mewah dengan unta Nabi, pinta MAZA

Membandingkan Rasulullah s.a.w memiliki unta-unta yang baik dengan pembelian kenderaan mewah dari wang kerajaan adalah tidak tepat, demikian tegas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurut beliau, kenderaan yang dimiliki oleh Nabi s.a.w iaitu unta, kuda dan baghal dibeli sendiri baginda seperti Qaswa’ dan ada juga yang dihadiahkan oleh pihak lain.

“Kalangan haiwan itu baginda miliki sejak di Mekah seperti Qaswa’ tersebut,” tulis beliau di Facebooknya.

Katanya, semua kenderaan yang dimiliki itu tidak melibatkan peruntukan atau bajet kerajaan yang diuruskan oleh baginda.

Jelas beliau lagi, untuk membeli kenderaan atas peruntukan kerajaan dengan alasan-alasan pentadbiran yang diberikan, itu urusan urus tadbir kerajaan.

Namun, beliau menegaskan membandingkan pembelian kereta mewah dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah tidak tepat.

“Harap pihak berkenaan lebih berhati-hati,” tambah Dr Asri.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamad Amar Abdullah menegaskan pemimpin perlu mempunyai kenderaan yang terbaik (kereta Mercedes Benz) sebagaimana Rasulullah memiliki unta yang paling kuat, paling mahal dan boleh berlari dengan laju.

Malah beliau berkata penggunaan kenderaan seperti Mercedes Benz itu tidak wajar digembar-gemburkan.

“Takkan nak pakai Viva belaka (semua) menteri?” katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Kota Bharu semalam.

Dengan pembelian kenderaan itu, Mohd Amar juga berkata pihaknya bukan untuk menunjukkan sombong dan mahu bermewah sebaliknya ia adalah duit kerajaan dan hak milik kerajaan.

“Demo (kamu) kalau ada pitih (duit) tak nak pakai Merc? Tak nak pakai Merc ke?,” soal beliau.