Malaysia Dateline

Jangan bawa mana-mana kumpulan pengganas ke negara ini, desak GRVATM

Sebagai rakyat dalam sebuah negara yang berdaulat, Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM) menentang keras tindakan segelintir rakyat negara ini yang cuba menghidupkan kembali kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dalam negara ini.

Demikian desakan yang dibuat oleh Presiden GRVATM, Azizan Salleh.

Menurut beliau, LTTE sudah pun dikenali dunia sebagai sebuah pertubuhan pengganas dan tindakan mereka juga tidak mendapat dokongan.

Oleh kerana itu menjadi persoalan dan keraguan rakyat negara ini, apakah sebenarnya tujuan segelintir pihak yang ingin menghidupkannya kembali dalam negara ini.

“GRVATM menyokong tindakan yang diambil oleh KDN maupun PDRM dalam usaha untuk menangani isu ini tanpa adanya gangguan dan campur tangan dari mana-mana pihak termasuk ahli politik.

Azizan Salleh, Presiden GRVATM (tiga dari kanan) bersama ahli persatuan.

“Sehubungan itu, adalah tidak wajar sekiranya mana-mana pihak cuba mempertahankan LTTE dalam negara ini.

“Ia juga ibarat api yang kecil boleh dihembus dan dipadamkan dengan mudah, sebaliknya sekiranya ia telah merebak dan membesar maka amat sukar untuk ia dipadamkan serta merbahaya khususnya kepada keharmonian masyarakat pelbagai kaum dalam negara ini,” ujarnya.

Malah kata Azizan lagi, sejarah harus menjadi iktibar kepada semua rakyat dalam negara ini tanpa mengambil kira kedudukan dan portfolio mereka.

Tegasnya, peristiwa zaman darurat ketika menentang komunis, peristiwa di Lahad Datu, Sabah serta sejarah hitam 13 Mei perlu menjadi pedoman betapa mahalnya harga sebuah kedamaian.

“Tindakan pantas kerajaan melalui PDRM sepatutnya diberi pujian kerana telah berjaya menahan dan menjalankan siasatan terhadap mereka yang didakwa terlibat dengan kumpulan LTTE tersebut baru-baru ini.

“GRVATM akan senantiasa menyokong segala usaha kerajaan dan PDRM membanteras kumpulan pengganas dan mereka yang mendokong ideologi keganasan kumpulan tersebut.

“Mana-mana pimpinan politik tidak seharusnya campur tangan dan mengganggu apa jua proses siasatan yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa, ” jelasnya.

Baru-baru ini dilaporkan pihak berkuasa telah berjaya menahan penyokong kumpunan LTTE dalam negara ini yang turut terdiri dari guru, Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan dan ketua pegawai eksekutif perbadanan anak syarikat kerajaan negeri.