Jangan bebani guru dengan tugas luar

Jangan bebani guru dengan tugas luar

Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan guru tidak dibebani tugas-tugas di luar daripada bidang keguruan (pengajaran dan pembelajaran) bagi mengelakkan tugas utama mereka terganggu.

Naib Presidennya Dr Hasan Bahrom berkata, pihak kementerian perlu memikir dan merancang kaedah-kaedah yang lebih sesuai dalam kerangka kerjaya guru bagi mengurangkan beban tugas mereka khususnya tugas-tugas di luar keutamaan sehingga menjejaskan fungsi guru sebagai seorang muaalim, muaddib dan murabbi.

“Penambahan kakitangan perkeranian, mewujudkan jawatan pembantu guru sangat perlu bagi menyelesaikan kerja-kerja perkeranian. Kegagalan menangani persoalan ini memberi kesan kepada rangka membangun negara bangsa,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Guru hari ini.

Menurut beliau, tema sambutan hari guru pada tahun ini iaitu ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ bukan sekadar slogan semata-mata, tetapi wajar diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan langkah-langkah yang lebih sistematik dan terancang sesuai dengan tanggungjawab guru.

Justeru, beliau yang juga pengerusi Biro Pendidikan Amanah mengingatkan dan menggesa kerajaan agar mempertingkat kebajikan guru, tidak memotong peruntukan belanjawan pendidikan malah sewajarnya dinaikkan dari masa ke masa.

“Langkah ini sesuai dengan peranan guru dalam mendidik anak bangsa, dan melahirkan warganegara yang berkualiti, mempunyai jati diri yang hebat dan kuat, insan yang kereatif dan inovatif,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, guru juga harus diberi ruang dan kebebasan untuk menyalurkan pemikiran dan idea mereka dalam menggagaskan nilai-nilai bangsa yang utuh dan segar.

“Guru bukan sahaja berperanan mengasuh anak bangsa di institusi persekolahan semata-mata, mereka juga mempunyai peranan dan tanggungjawab yang lebih besar dalam masyarakat sebagai peneroka idea-idea baru, pemikir masa depan dan pencetus perubahan kepada sesuatu bangsa.

“Parti Amanah Negara berkeyakinan guru mempunyai kekuatan dan iltizam yang tinggi dalam merekayasa perubahan sekiranya profesyen keguruan ini diangkat martabatnya sejajar dengan kemuliaan peranan dan tanggungjawabnya,” katanya lagi.

Amanah tergasnya, beriltizam untuk mengambil pendekatan yang lebih sesuai dengan kerjaya guru, serta menawarkan satu kerangka kerjaya keguruan yang lebih baik dari aspek kebajikan, kelangsungan kerjaya, beban tugas dan kemudahan prasarana pengajaran.

“Semua perkara itu perlu dilihat dan diadun agar profesyen keguruan itu mencapai matlamatnya,” katanya.

 

COMMENTS

Wordpress (0)