Malaysia Dateline

“Jangan beli baju baru, jangan bawa pisang epal tak apa”-Bapa cerita bagaimana sekolah tidak mahu bebankan ibu bapa

Jangan beli baju baru kepada anak-anak sekiranya ada sebarang program seperti persembahan kelas dan pakailah apa sahaja yang penting adalah penglibatan, itulah pesanan guru sekolah di negara maju.

Pesanan sekolah itu semata-mata tidak mahu menjadi bebanan buat ibu bapa yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bagi menyediakan baju baru kepada anak-anak mereka khasnya apabila ada persembahan di kelas.

Ini berlaku di negara maju Australia seperti mana yang diceritakan oleh seorang bapa Othman Talib sepanjang menghantar anaknya ke sekolah di Adelaide.

Menceritakan pengalaman menguruskan anaknya di East Torrens Primary School Adelaide, beliau berkata guru kelas awal-awal telah berpesan supaya jangan beli apa-apa yang baru jika ada persembahan kelas atau persembahan depan ibubapa. Pakai sahaja apa yang ada, sebab yang penting adalah penglibatan.

Jangan beli baju baru jangan bawa pisang epal tak apa Bapa cerita sekolah tidak mahu bebankan ibu bapa

Begitu juga anaknya di Campbell Town preschool, Adelaide di mana guru meminta anak memakai pakaian yang dia suka pakai kerana itulah watak yang akan diberikan dalam pementasan dihadapan ibubapa.

“Ketika Nine berusia 5 tahun dan terlibat dengan persembahan, lalu diminta oleh pengurusan sebuah kindy di Malaysia untuk membeli kasut putih sesuai dengan tema persembahan.

“Aku bangkang. Akhirnya Nine sahaja yang berkasut coklat dan persembahan tetap berjalan lancar dan ceria,” kata beliau.

Kenapa beliau menceritakan semua ini kerana pihak sekolah di Adelaide tidak mahu membebankan ibubapa dan murid dalam masa yang sama mereka kreatif dalam menjalankan aktiviti tanpa perlu ibubapa menyusahkan diri untuk membeli pelbagai benda.

“Namun dalam masa yang sama, persembahan anak-anak tetap meriah, malah menimbulkan kreativiti dalam persembahan bagi mewakili pelbagai watak dan jalan cerita.

“Bila sampai kepada Nine, aku membawa pendekatan yang sama, lalu terkejutkah pihak pengurusan kindy di Malaysia, sedang ibubapa yang lain sanggup berhabis memenuhi kehendak persembahan untuk anak mereka,” katanya.

Beliau tidak menafikan pendapat popular di Malaysia tidak mengapa berhabis untuk anak dengan pakaian baru untuk persembahan.

Tetapi bagi Othman pendapat ini tidak dianuti Adelaide, walaupun majoriti mereka mempunyai dua anak sahaja.

Mereka mahu anak-anak menjadi diri sendiri dalam membuat persembahan tanpa perlu menambah beban ibu bapa.

“Kita mungkin mampu, tetapi belum tentu lagi ibu bapa yang lain,” ujar beliau.

Kawannya Gina Manan juga menceritakan guru di sana memberitahu ibu bapa supaya tidak bekalkan pisang kepada anak kerana harganya ketika itu mahal agar tiada anak-anak lain yang teringin.

“Jika nak makan, makan kat rumah.. Kalau bawa apple tak per.. sebab murah. Sampai begitu sekali empati mereka!”katanya.

Bagaimanapun beliau menjelaskan kisah ini hanya satu perspektif kecil sahaja dalam perjalanan pendidikan di Adelaide, Australia tetapi memberi kesan besar kepada apa yang fahaminya selama ini.

“Tiada masalah jika anda tidak bersetuju. Sekadar berkongsi apa yang berlaku di sekolah sebuah negara maju,” cerita beliau.

Baca juga: Pelajar maut dipanah petir ketika berbual bersama rakan

Baca juga: Ramai tertanya-tanya kapal layar mewah RM200 juta singgah di Perlis milik siapa, ini jawapannya