Malaysia Dateline

Rohingya etnik

Jangan benci Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu agar tidak membenci kepada etnik Rohingya.

Mengakui memahami mengapa orang Melayu begitu membenci Rohingya, bekas Perdana Menteri itu berkata, etnik tersebut hanya menjadi mangsa kezaliman Myanmar.

“Saya sedar kenapa orang Melayu sekarang begitu benci kepada orang Rohingya. Dahulu mereka benci kepada pelarian dari Vietnam.

“Pada mulanya orang Melayu bersimpati dengan orang Rohingya dan orang Rohingya pun pilih untuk datang ke Malaysia kerana simpati dari kita.

“Tetapi apabila jumlah menjadi begitu ramai dan ada perbuatan pelarian ini yang menyentuh perasaan orang Melayu, maka simpati bertukar jadi benci,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian menerusi hantaran dalam blognya http://chedet.cc hari ini

Beliau menambah, Negara-Negara Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC dilihat perlu bertindak untuk menghentikan kezaliman yang dilakukan Myanmar terhadap etnik Rohingya.

“Kita sepatutnya mengecam Myanmar dan Aung San Suu Kyi kerana kezaliman mereka dan bertindak menolak dagangan dengan mereka.

“Kita juga perlu meminta Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan terhadap Myanmar. Kita juga perlu dedahkan kezaliman Myanmar kepada dunia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menyifatkan tindakan menghalau bot berisi 400 pelarian sehingga mereka berada di laut sampai dua bulan, adalah tindakan tidak berperikemanusiaan.

“Apa yang patut dilakukan ialah membekal mereka dengan makanan dan minyak supaya mereka dapat pergi ke negara lain atau balik ke Myanmar.

“Sesungguhnya kita telah beri terlalu banyak suaka kepada pelarian. Mereka sepatutnya pergi ke negara lain dan negara lain juga perlu buka pintu mereka,” katanya lagi.