Malaysia Dateline

Jangan berdolak-dalik, beri Elaun Khas kepada semua pekerja kesihatan

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Negeri Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim menyeru kerajaan supaya tidak berdolak dalih dalam pemberian elaun khas kepada kakitangan kesihatan.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata AWAN Kelantan mengambil berat luahan hati pekerja kesihatan yang tidak mendapat elaun khas rm 600 yang diumumkan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Kata beliau, ini kerana mereka tidak dikategorikan dalam “bekerja secara langsung dengan rantaian pengurusan, menangani dan membendung wabak COVID-19”.

“Hakikatnya mereka juga adalah terdiri daripada kakitangan yang yang berpeluh jaga screening pesakit di pintu masuk hospital.

“Yang bertugas memang secara langsung jaga pesakit Covid19, tapi tak cukup 15 hari.

“Kakitangan di jabatan kecemasan yang tak terlibat secara langsung dengan rawatan pesakit covid19 juga tidak dapat. Walaupun dia bertugas di kawasan berisiko tinggi yang mungkin terdedah kepada pesakit covid 19. Tidak dapat kerana dikira tidak merawat covid secara langsung.

“Pemandu ambulans terpaksa travel dari pusat tanggungjawab masing-masing untuk bertugas secara standby di hospital tertiari, seawal 7.00 pagi dan tunggu pula hingga ke 10,00 malam. Tapi rupanya tak dapat elaun khas, kerana tiada pesakit Covid-19 yang dibawa,” kata beliau.

Ujar beliau, dalam keadaan negara masih berusaha untuk menangani wabak Covid-19 ini daripada terus menular, semua kakitangan kesihatan kita terdedah dengan risiko jangkitan dan mereka juga bekerja dalam keadaan tertekan.

“Tidak dinafikan sebahagian kakitangan kita terpaksa kerja lebih masa dan menghadapi tekanan sehingga ada yang terkorban jiwa (kemalangan) di Jalan Kuala Krai-Gua Musang) dalam proses menjalankan tugas,” katanya lagi.