Jangan berdolak dalik kesudahan skandal 1MDB, kata Kadir Jasin

Jangan berdolak dalik kesudahan skandal 1MDB, kata Kadir Jasin
Datuk A Kadir Jasin

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk A Kadir Jasin mendesak kerajaan  dan institusi kehakiman di negara ini tidak berdolak dalik dalam mengendalikan kes berprofil tinggi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes-kes rasuah besar yang lain.

Beliau berkata, hanya bercakap sahaja tidak menyelesaikan masalah berbangkit dan rakyat ujarnya mahu tindakan yang membawa kepada manfaat mereka.

“Jadi mohonlah jangan berdolak-dalik atau melengah-lengahkan lagi penyudahan kes-kes berkitan skandal 1MDB dan kes-kes rasuah besar yang lain.

“Menjelang dua tahun pemerintahan PH, bukan Kabinet sahaja yang wajib diadili, malah semua cabang kerajaan, termasuk Kehakiman, wajib diberi markah.

“: Cakap saja tidak cukup dan tidak guna. Rakyat mahu tindakan yang membawa manfaat kepada mereka.

“Mana-mana Menteri yang selama ini pekak, bisu dan tuli tolonglah berkomunikasi dengan rakyat jelata.

“Media massa, walaupun telah diberi kebebasan, masih boleh membantu kalau mereka bersikap profesional dan adil,” ujarnya dalam tulisannya di facebook pada Ahad.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan dibuat Peguam Negara Tommy Thomas pada Jumaat, terdapat 27 kes berkaitan 1MDB masih tertangguh di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur dan di Shah Alam.

Thomas dipetik berkata sejak Julai 2018, pertuduhan jenayah telah dilakukan terhadap banyak individu berprofil tinggi dalam apa yang dikenali sebagai “kes kleptokrasi’.

Kebanyakannya berkaitan dengan skandal 1MDB, tetapi terdapat juga kes lain, katanya seperti dilaporkan Bernama.

Justeru Kadir yang juga Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri
ini berkata, semua pihak yang tahu mengenai undang-undang mengakui prosesnya sukar.

Namun kesukaran itu ujarnya, adalah cabaran untuk memudahkan supaya rakyat biasa faham dan keadilan dalam dilaksanakan.

Ini kerana jelasnya lagi, Kehakiman adalah sebagian daripada sistem pentadbiran. Ia tidak terpisah, istimewa atau asing. Maka ia bertanggungjab kepada masyarakat keseluruhannya.

“Kehakiman sendiri yang berkata, “justice delayed is justice denied” – keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang tidak dilaksanakan.

“Rakyat jelata berhak kapada keadilan sama seperti tertuduh berprofil tinggi yang telah merosakkan negara dan masyarakat,” ujarnya.