Malaysia Dateline

Jangan beri ‘cek kosong’ kepada GPS

Jangan beri ‘cek kosong’ kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk buat sesuka hati, kata DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Beliau berkata, DAP mesti mempunyai pasukan yang kuat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ramai untuk memberi semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan.

“Sebelum ini kerajaan peruntukkan RM30 juta membina sebuah sekolah untuk 250 pelajar sahaja. Ia diluluskan dan dinyatakan dalam buku belanjawan negeri.

“Kalaulah dana ini dibelanjakan dengan baik, mungkin rakyat sudah menikmati lebih daripada satu sekolah, tetapi mana bakinya? soal Chieng Jen seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Rakyat Sarawak bakal mengundi memilih kerajaan negeri pada Sabtu ini.

Ditanya berhubung tindakan DAP terhadap isu tersebut, Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Stampin memberitahu, pihaknya mesti membangkitkannya di Dewan Undangan Negeri (DUN)

“Kami mesti membangkitkan isu ini di DUN, dedahkan kepada rakyat apa yang dilakukan kerajaan.

“Katanya mahu naik taraf sekolah-sekolah daif dan perlu dana besar, tetapi ada tujuan lain di sebaliknya,” katanya.

Chien Jen berkata, ketika beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, pihaknya berjaya mengawal kadar inflasi.

“Tetapi kerajaan sekarang tidak peduli hal ini, menyusahkan rakyat lagi ada,” katanya.