Malaysia Dateline

Jangan berkira jaga kebajikan barisan hadapan, maksimumkan capaian internet di pedalaman

Pemuda AMANAH Nasional menggesa kerajaan untuk menghapuskan beban berlebihan petugas barisan hadapan.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, penyusunan semula tugas perlu dilakukan dengan segera serta bersifat manusiawi.

“Pada masa sama, mana-mana tragedi buruk yang menimpa barisan hadapan ini, siasatan lebih adil wajar dilakukan dan keluarga mereka diberikan pampasan setimpal.

“Sebagai permulaan, kerajaan boleh menyerap secara bertahap staf-staf bawah Kementerian Kesihatan yang berstatus kontrak.

“Walau berdepan dengan kekangan kewangan, dalam situasi kritikal kerajaan sewajarnya tidak harus terlalu berkira dalam menjaga kebajikan para pejuang barisan hadapan, seterusnya membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan cemerlang,” ujarnya.

Dalam masa sama, Shazni berkata, kerajaan juga wajar membuat unjuran ketika ini bahawa pembelajaran secara atas talian bukan lagi alternatif, bahkan telah menjadi medium utama.

Menurutnya, masalah capaian internet di kawasan pedalaman wajar ditangani segera dengan kerajaan memanfaatkan sepenuhnya dana terkumpul Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Kita tidak pasti berapa lagi berbaki dana terkumpul ini.

“Namun yang pasti, akhir Februari tahun lalu – sebelum dijatuhkan – kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM3 bilion daripada ‘USP fund’ untuk menggerakkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“Mungkin menteri sekarang boleh melaporkan perkembangan projek, sama ada diteruskan atau tergendala,” katanya.

Mengulas lanjut, Shazni berkata, rakyat perlu tahu perkembangan keenam-enam projek bawah NFCP yang sepatutnya telah bergerak dengan baik jika diteruskan.

“Jika tergendala, rakyat juga berhak tahu mengapa dan bagaimana ianya boleh tergendala. Situasi luar biasa menuntut langkah yang luar biasa.

“Sekiranya menteri masih termangu-mangu dan tidak proaktif, lebih baik berundur sahaja dengan terhormat,” ujarnya lagi.