Malaysia Dateline

Jangan bermewah dalam pakej iftar di hotel di kala ramai terkesan akibat pandemik

Jangan bermewah dalam pakej iftar di hotel di kala ramai terkesan akibat pandemik sebaliknya jadikanlah bulan Ramadan sebagai bulan yang mendidik serta menghindari diri daripada amalan membazir.

Sederhana dalam beriftar dibulan Ramadan suatu amalan yang sangat penting dan ia perlu diamalkan pengguna terutama umat Islam.

Pengerusi Penasihat Majlis Pengguna Negara Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keterlaluan dan bermewahan dalam pakej iftar dihotel dan restoran harus dielakkan.

Katanya, ianya tidak wajar diamalkan di kala masih ramai golongan miskin bergelut untuk memenuhi keperluan asas sedangkan ada pihak yang sanggup membazir makanan tanpa rasa sensitif terhadap kumpulan masyarakat yang masih terkesan akibat pandemik dan musibah banjir.

Jangan bermewah dalam pakej iftar di hotel di kala ramai terkesan akibat pandemik
Pengerusi Penasihat Majlis Pengguna Negara Mohd Azmi Abdul Hamid

“Selain itu, kami juga mengingatkan para peniaga agar tidak ghairah ketika berniaga dibazar ramadhan dan syawal sehingga tidak menjaga SOP.

“Peniaga harus ingat peraturan untuk memastikan hak pengguna tidak dicabuli bukan sahaja dari segi harga tetapi juga kualiti dan keselamatan produk.

Mohd Azmi menasihatkan para pengguna harus menghayati segala nilai Ramadan untuk menghakis sifat keborosan , kerakusan dan bermewahan.

Beliau berkata, agak malang ruh Ramadan untuk mengekang nafsu kepenggunaan berlebihan tidak berlaku malah sebaliknya bulan suci bertukar menjadi bulan pesta makan yang mencolok mata.

Berbelanja sekadar perlu kata beliau sepatutnya menjadi pedoman para pengguna dibulan Ramadan.

“Seharusnya cermat dan berhati-hati semasa berbelanja agar tidak menjadi mangsa manipulasi pihak peniaga tidak bertanggungjawab.

“Para mengguna sewajar merujuk kepada agensi penguatkuasa sekiranya berlaku kenaikkan bahan mentah secara mendadak atau wujud manipulasi di pasaran.

“Kami menyeru agar sifat murah berinfaq ditingkatkan untuk membantu mereka memerlukan.

“Yang berkelebihan rezeki boleh beramal dengan memberi sumbangan kepada yang memerlukan sama ada dalam dan luar negara,” ujar beliau.