Malaysia Dateline

“Jangan berpolitik” tapi pertahan Mahiaddin khianati demokrasi

Entah apa dalil diberi dari Marang kepada Mahiaddin Md Yasin kelmarin. Entah apa pula tunjuk ajar diasak oleh Penasihat Khas bertaraf menteri kepada Perdana Menteri tiada majoriti itu.

Ucapan khas Mahiaddin petang semalam buat kesekian kalinya menyentak akal dan perasaan banyak pihak. Satu dunia memerhati wayang kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang muka tembok tidak tahu malu.

Semakin melambung kes kematian akibat Covid-19 sebelum tiba di hospital (BID), semakin gila pula sikap politik Mahiaddin yang jadi peneraju kerajaan tebuk atap.

Dia boleh kekal jadi Perdana Menteri sebab orang lain tiada majoriti. Padahal, dia sendiri yang hanya berbaki sokongan 100 kerusi sudah jelas tiada majoriti.

Logik Mahiaddin itu kalau berlaku dalam kalangan pelajar sekolah pun boleh mengundang pergaduhan besar. Bukan setakat perang mulut, mahu bertumbuk hilang gigi. Sudah hilang majoriti, lagi mahu banyak ‘bunyi’.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga nampaknya sudah beberapa kali tegar menyanggah Istana Negara. Amalan demokrasi berparlimen semakin ketara dicampak ke tepi sejak Langkah Sheraton tahun lepas lagi.

Kini, prinsip Raja Berperlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang juga selamba dilanggar gara-gara tidak mahu melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Mahiaddin dan sekumpulan Ahli Parlimen yang mengkhianati Pakatan Harapan (PH) tahun lepas, sekarang bersama segerombolan jemaah menteri sudah naik taraf mengkhianati negara dan juga sistem demokrasi.

Alasan tidak ada Ahli Parlimen lain yang dapat membuktikan memiliki sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baru sudah semacam merampas budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong.

Mahiaddin selamba menawarkan sogokan secara terbuka kepada blok pembangkang.

Menambah senarai biadabnya terhadap pemikiran waras rakyat negara ini apabila secara terbuka menawarkan rasuah politik kepada Ahli-Ahli Parlimen.

Tanpa memiliki PhD pun, tawaran Mahiaddin untuk mewujudkan kerjasama rentas parti dengan ‘kerajaan’ PN itu tidak lebih hanya satu bentuk sogokan kepada Ahli-Ahli Parlimen.

Demi jawatan disandang, Mahiaddin nampaknya tidak peduli menggunakan duit rakyat. Anak kepada ulama terkenal di Johor sekitar 50-an hingga 70-an itu seperti meminta kuasa yang telah dirampas dihalalkan.

Padahal, dengan segala kepincangan politik, ekonomi dan krisis pandemik sekarang, Mahiaddin lebih bermaruah meletak jawatan sahaja mengikut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, liatnya nyawa politik Mahiaddin yang juga Presiden Bersatu itu tidak boleh dibawa bincang lagi. Penampilannya dalam perutusan bukannya sidang media berdepan khalayak media semalam, semua boleh nampak bermotif apa.

Bukan agenda menyelamatkan rakyat ketika jumlah pesakit Covid-19 bagi kategori 3, 4 dan 5 yang serius semakin melonjak manakala setakat semalam hanya 31.1 peratus penduduk sudah melengkapkan suntikan vaksin.

Bukan juga pelan meringankan beban rakyat ketika seramai 768,700 orang menganggur dengan kadar pengangguran juga dicatatkan meningkat kepada 4.8 peratus pada Jun seperti didedahkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Sebaliknya, perutusan Mahiaddin semalam sudah terang dilimpahi lampu stadium hanya mengutamakan usaha untuk menyelamatkan hayat politiknya selepas lebih setahun ‘berjaya’ membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

Mahiaddin terang-terang cuba mendapatkan sokongan pembangkang bagi usul undi percaya bulan depan. Tergamak dia menawarkan saraan dan kemudahan kepada ketua pembangkang yang setara dengan menteri kanan.

Lagi jelas menampakkan begitu terdesaknya Mahiaddian apabila sogokan itu diberi jika majoriti ahli Parlimen bersetuju dengan cadangan rentas parti dan meluluskan usul undi percaya pada sidang Parlimen.

Kalau itu bukan satu bentuk rasuah, mahu panggil apa lagi?

Apapun, Mahiaddin dengan tahap likat pekat degilnya sukar dilunturkan selagi blok pembangkang tidak sepakat duduk semeja mengatur strategi.

Dalam masa sama, kedegilan Mahiaddin berundur dari Putrajaya ketika setiap hari muncul lebih 20,000 kes baharu Covid-19 serentak lebih 200 orang meninggal dunia saban hari akibat pandemik itu sepatutnya menjentik nurani majoriti rakyat.

Apa lagi panggilan patut diberi memandangkan kerajaan PN gagal segagal-gagalnya. Ramai rakyat yang ‘mengemis’ untuk temujanji vaksin sejak akhir Februari lagi pun masih terpinga-pinga tidak tahu apa status terkini mereka.

Jadi, apa perlunya lagi golongan yang suka menulis komentar, “jangan berpolitik” di media sosial, andai masih mempertahankan Mahiaddin yang terang-terang terdesak dalam berpolitik?