Malaysia Dateline

Jangan bersumpah untuk raih politik murahan

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil menasihatkan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak bersumpah untuk meraih politik murahan.

Sebaliknya kata beliau, sumpah Najib tidak akan melepaskan beliau daripada sebarang penyiasatan dan pendakwaan kerana sumpah bukan satu keterangan.

Jelasnya, kes pembunuhan Altantuya masih menjadi misteri kerana keterangan di mahkamah menunjukkan mendiang dibunuh Sirul dan Azilah atas arahan seseorang.

“Adalah perkara asas kes pembunuhan dibuktikan motif pembunuhan, dan motif ini tidak dibuktikan, manakala rakan subahat yang didakwa mengarahkan pembunuhan Razak Baginda pula dibebaskan.

“Oleh itu, dari sudut perundangan, sewajarnya siasatan kes adil, bebas dan menyeluruh dijalankan semula dan seterusnya pendakwaan semula dijalankan jika terdapat bukti baharu.

“Misteri pembunuhan ini perlu diselesaikan bagi membuktikan negara ini benar-benar menjunjung keluhuran undang-undang,” tegas beliau.

Menurut Faiz lagi, sekiranya trend sumpah ini dijadikan polemik politik, adalah dibimbangi mana-mana individu dalam negara boleh sahaja menggunakan kaedah yang sama dan meletakkan undang-undang ditempat yang rendah, sedangkan tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang.

Ujarnya, dalam perundangan Islam atau syariah sumpah laknat hanya wujud dalam kes li’an (suami menuduh isteri berzina dan isteri menafikan).

Namun begitu katanya, dalam kes jenayah sepertimana kes pembunuhan Altantuya, sumpah laknat tidak relevan dalam perundangan Islam mahupun undang-undang sivil.

“Adalah satu sikap tidak menghormati keluhuran undang-undang serta mengetepikan proses undang-undang.

“Tindakan ini adalah selaras dengan kisah Nabi Yusuf yang tidak pula bersumpah ketika baginda difitnah cuba merogol Zulaika, tetapi dibicarakan.

“Seharusnya Najib menawarkan diri untuk disiasat setelah Azilah mengemukakan afidavit bersumpahnya dan bukan bersumpah,” tambah beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.