Malaysia Dateline

Jangan bertolak ansur terhadap pemandu mabuk, bentang pindaan RUU

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua pihak perlu mengambil pendirian ‘tiada tolak ansur’ terhadap pemandu mabuk.

Kata beliau, ia adalah isu nyawa manusia yang merentasi pendirian politik dan beliau akan bangun menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk apabila ia dibawa ke sidang Parlimen kelak.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa supaya hukuman terhadap pemandu mabuk dipertingkatkan.

Tuan Ibrahim membuat gesaan tersebut susulan seorang anggota polis maut dirempuh ketika bertugas di sekatan jalan raya Plaza Tol Kajang Selatan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 2.11 pagi itu, Allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail, 31, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan akibat dirempuh sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk.

“Saya bersetuju dengan pendirian YB Tuan Ibrahim. Itu sebabnya saya menyahut seruan beliau pada bulan Januari lepas dan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet pada 29 Januari 2020.

“Kabinet ketika itu sudah bersetuju secara prinsip untuk mengetatkan undang-undang terhadap pemandu mabuk dan mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk menggubal pindaan Rang Undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau menerusi Facebooknya semalam.

Jelas Loke, beliau tidak sempat untuk membentangkan pindaan RUU tersebut di Parlimen namun beliau berharap agenda itu akan diteruskan oleh kerajaan sekarang.

“Semua pihak perlu mengambil pendirian “zero tolerance” terhadap pemandu mabuk. Period,” kata bekas Menteri Pengangkutan itu.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail.