
Jangan biarkan isu peralihan kuasa halang agenda reformasi Pakatan Harapan
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) meluahkan kebimbangan terhadap isu peralihan kuasa Perdana Menteri yang kini dilihat menjadi fokus utama sehingga menenggelamkan agenda reformasi sebenar yang ingin dibawa kerajaan.

Brid.Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji
Presidennya Brid.Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, apa yang dikesalkan adalah sikap pemimpin politik yang berusaha mendapatkan jawatan dan kuasa menyebabkan mereka boleh terjurumus dalam politik kotor.
Katanya, keadaan itu menunjukkan etika yang buruk sekaligus boleh menimbulkan persepsi seperti ahli politik Barisan Nasional (BN) yang kleptokrat.
“Majoriti orang yang mengundi dan menyokong PH yang berada di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah untuk menggulingkan kerajaan kleptokrat BN. Mereka juga mahu pemimpin PH melaksanakan pembaharuan yang diperlukan untuk mendapatkan negara kembali ke landasan semula.
“Patriot ingin melihat ahli politik yang terlibat dalam perjuangan kuasa ini untuk bertindak dengan cara yang menghormati dan menyokong rakyat.
“Mereka harus menumpukan sepenuhnya kepada portfolio dan tanggungjawab masing-masing dan memenuhi janji-janji pembaharuan seperti yang diharapkan oleh rakyat yang mengundi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, isu peralihan kuasa ini bukan satu masalah oleh kerana Dr Mahathir berjanji untuk menyerahkan jawatan tersebut ketika masa sesuai.
“Patriot memahami bahawa Majlis Presiden PH telah membuat keputusan mengenai penggantian kepimpinan, dan akan menghormatinya,”katanya.