Malaysia Dateline

Jangan biarkan musang menjaga reban ayam

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengingatkan rakyat khususnya penduduk negeri Kedah supaya tidak membiarkan musang menjadi pengawal atau penjaga reban ayam

Katanya lagi, sekiranya dibiarkan musang menjadi penjaga reban-reban ayam, lambat laun semua ayam akan hilang.

Beliau menzahirkan perumpamaan tersebut semasa berucap pada program ceramah isu semasa yang diadakan di Pekan Gurun, kelmarin.

Orang ramai yang menghadiri ceramah isu semasa di Pekan Gurun kelmarin.

Menurut beliau lagi, rakyat tidak harus membiarkan negara ini berterusan ditadbir oleh pencuri yang senantiasa mencuri apa saja peluang yang ada.

Malah katanya, lebih lama dibiarkan pencuri menyelia urus negara, maka rakyat akan bertambah miskin dan melarat sehingga mampu menjadi papa kedana.

“Kenapa Perak boleh menjadi negeri yang dikategorikan sebagai salah sebuah negeri yang miskin dalam negara ini?

“Sebabnya tidak lain kerana ia ditadbir umpama musang menjaga reban ayam.

“Ayam yang ada dalam kawalannya akan lenyap satu persatu,” jelasnya lagi.

Oleh kerana itu ujarnya, rakyat harus jadikan perumpamaan ini sebagai satu peringatan agar negeri dan negara tidak ditadbir oleh musang maupun pencuri.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Perak turut membidas Pas yang disifatkan sebagai cakap tidak serupa bikin.

“Saya ditarbiah begitu lama dalam Pas dahulu supaya jangan sekali-kali cenderung kepada mereka yang zalim, kelak akan disambar api neraka.

“Ini adalah didikan yang diterima sejak dulu lagi sehinggalah saya tidak lagi bersama dengan parti lama itu.

“Maka itu kita tidak harus cenderung dan minat untuk memberi undi kepada Umno dan BN atas khurafat yang mereka ciptakan, ” tegasnya.

Ujarnya lagi, khurafat Umno yang mendakwa sekiranya Umno kalah, Cina akan memerintah negara ini adalah salah dan kita tidak harus terpengaruh dengan dakyah serong tersebut.

“Atas iltizam yang kuat dan begitu tinggi untuk membela nasib rakyat, AMANAH bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) telah sepakat untuk merampas kembali negeri Perak dan juga kerajaan pusat.

“Di Perak hampir 95 peratus kerusi antara PH sudah pun selesai.

“Justeru, apa sahaja keputusan PH Pusat akan diterima oleh AMANAH asalkan matlamat untuk merampas kembali kerusi yang dimenangi Umno-BN dapat menjadi kenyataan,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu katanya, AMANAH dan PH tidak akan berebut kerusi maupun bertelagah dalam pengagihan kerusi, sebaliknya tetap serius dan bersungguh-sungguh untuk memastikan Umno dan BN menjadi pembangkang bukan saja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat Pusat.