Malaysia Dateline

Jangan biarkan Sabah diugut parti Muhyiddin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap cuba mengugut rakyat Sabah apabila mengatakan bahawa kerajaan Persekutuan tidak akan dapat memberikan peruntukan kepada negeri itu sekiranya Sabah ditadbir oleh WarisanPlus yang tidak sehaluan dengan Putrajaya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ugutan Presiden Bersatu itu yang mahu menyekat pembangunan infrastruktur bagi Sabah telah mengkhianati Semangat Perjanjian Malaysia 1963 selain menunjukkan beliau sudah lupa bahawa tanpa Sabah, tidak akan ada Malaysia.

Beliau berkata, ini juga telah menidakkan Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan pembentukan Malaysia dan Suruhanjaya Cobbold, sebagai pendahulu Perjanjian Malaysia 1963.

Ketika itu, Lord Cobbold selaku Pengerusi menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi setara dengan Semenanjung Malaysia.

“Bagaimana Sabah boleh dianggap sebagai rakan kongsi setara jika Perdana Menteri boleh mengugut rakyat Sabah untuk menyekat pembiayaan pembangunan yang dijanjikan?

“Ini tiada beza dengan tindakan siber buli Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin terhadap Veveonah Mosibin.

“Daripada menyelesaikan masalah capaian internet yang buruk di luar bandar Sabah, dia menggelar Veveonah sebagai pembohong yang mahu mencari populariti untuk dirinya. Orang Sabah tidak boleh membiarkan diri mereka dibuli dengan penghinaan dan ugutan seperti ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, rakyat Sabah perlu memberi pengajaran kepada Muhyiddin dengan mengundi Warisan Plus dan Datuk Seri Shafie Apdal, bagi menghantar mesej jelas bahawa orang Sabah menentukan siapa yang akan dipilih sebagai kerajaan dan Ketua Menteri mereka.

Lebih penting lagi katanya, rakyat Sabah tidak boleh tunduk pada ugutan seperti itu dan akan bersatu untuk memastikan semangat dan surat Suruhanjaya Cobbold dan Perjanjian Malaysia 1963 dipatuhi.

“Muhyiddin perlu faham bahawa tanpa sokongan orang Sabah, tidak ada yang boleh dipilih menjadi Ketua Menteri.

“Bagaimana Muhyiddin boleh menggelar dirinya ‘Abah Sabah’ ketika dia tidak melakukan apa-apa untuk Sabah.

“Ini satu lagi penghinaan kepada orang Sabah seolah-olah orang Sabah tidak layak menjadi “Bapa Sabah”? Rakyat Sabah dan bukan Muhyiddin akan menentukan siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Sabah,”katanya lagi.