Jangan biarkan tikus baiki labu

Jangan biarkan tikus baiki labu

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah menyeru seluruh rakyat Malaysia berhenti membiarkan ‘tikus membaiki labu’ dalam menyambut tahun baharu 2016.

Mengibaratkan Umno BN seperti tikus yang membaiki labu, pengerusinya Datuk Dr. Ismail Salleh mendakwa pengurusan dan pentadbiran negara rosak akibat kerajaan yang seolah-olah cuba membaiki Malaysia sebaliknya telah merosakkannya secara keseluruhan.

“Inilah gambaran yang berlaku dalam pengurusan politik, ekonomi, budaya, pembangunan, pentadbiran, sukan, hiburan, tabung awam, keselamatan dan berbagai segmen yang membina Malaysia yang tercinta ini akibat terus dibiarkan tikus-tikus biru putih berlogo dacing yang kononnya cuba membaiki Malaysia sebaliknya telah merosakkannya secara total,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Pepatah Melayu, tikus membaiki labu adalah satu pepatah yang menggambar keadaan tikus-tikus kelihatan sedang bertungkus lumus seolah-olah sedang membaiki labu, tetapi sebenarnya sedang memenuhkan perut masing-masing dengan isi labu yang manis dan seterusnya merosak buah labu tersebut.

Beliau berkata, jika pemimpin negara dikritik, akan ada pihak yang memainkan sentimen agama dan bangsa.

“Jika ditegur atau dikritik, maka akan adalah juak lama dan baru mereka akan memainkan sentimen agama, bangsa dan kedaulatan negara demi membolehkan mereka meneruskan keserakahan yang tidak kunjung padam,” katanya.

Justeru beliau berharap rakyat menanam azam untuk membuat perubahan dalam menyelamatkan negara.

“Semoga tahun 2016 akan benar-benar memberi kesedaran dan keazaman kepada majoriti rakyat untuk menghalau tikus-tikus biru putih dari terus merosakkan negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya.

TAGS