Jangan bimbang digelar feminis atau liberal untuk perjuang hak wanita

Oleh HUSIN MAHAT

Sebahagian perwakilan wanita dalam Konvensyen AMANAH Nasional ke-2.

Wanita perlu diberikan peluang untuk mendapatkan pendidikan dan pekerjaan secara adil dan saksama dengan segala bentuk diskriminasi terhadap mereka dihapuskan.

Pada masa yang sama, wanita juga perlu komited membuktikan diri mereka boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan yang lain.

“Negara ini perlu membantu wanita yang bekerja dengan meningkatkan sistem sokongan kepada wanita. Sistem sokongan yang paling penting adalah menyediakan kemudahan penjagaan bayi dan anak dengan kos yang munasabah.

“Polisi kerajaan perlu menggalakkan majikan dan semua institusi awam dan swasta menyediakan ruang untuk premis nurseri dan taska,” ujar Presiden AMANAH Mohamad Sabu ketika menyampaikan pidato presiden sempena Konvensyen AMANAH Nasional ke-2 di Alor Setar, pagi tadi.

Menurut beliau, polisi anjal untuk membenarkan wanita bercuti bagi membesarkan dan mendidik anak sendiri dan kemudian kembali bekerja perlu dirangka guna mengelakkan kehilangan tenaga terlatih dari kalangan wanita.

Kerajaan juga, tambah beliau perlu menggalakkan kaum bapa turut terlibat dalam penjagaan anak-anak dengan diberi kemudahan yang sama dengan wanita jika mereka berhasrat menjaga anak.

Justeru katanya, tekad AMANAH dalam mendokong usaha memartabatkan wanita dan mengembalikan wanita pada kedudukan sewajarnya tidak akan terhenti.

“Usah bersifat apologetik kerana bimbang dituduh bersekongkol dengan kumpulan yang memperjuangkan feminisme dan liberalisme. Pentingnya ialah kita katakan yang hak dalam semua keadaan dan berperanan membawa mesej pencerahan dan islah,” ujarnya.

Mohamad juga akan mempertimbangkan secara serius cadangan Wanita Pakatan Harapan untuk menambah bilangan wanita di dalam parlimen dan dewan-dewan undangan negeri.