Jangan buang roti nak ‘expired’, boleh cuba resepi Puding Marble ini – “Sekejap je licin loyang!”

Oleh WAN SITI AMINAH

“Beli saiz besar selalu tak habis, beli yang kecil pula tak cukup,” ini adalah masalah yang pasti pernah dialami orang ramai setiap kali membeli roti putih.

Tetapi janganlah khuatir, roti yang tidak dapat dihabiskan sebenarnya mempunyai banyak kegunaan termasuk menghilangkan bau tidak menyenangkan dalam peti ais.

Bukan itu sahaja, lebihan roti ini juga boleh dijadikan bahan tambahan bagi membuat pencuci mulut yang begitu menyelerakan dan digemari orang ramai iaitu puding roti.

Tidak hanya mengelakkan pembaziran berikutan harga roti yang kian meningkat, ahli keluarga anda juga pasti akan senang hati setelah memakan pencuci mulut tersebut.

Jangan buru-buru buang sekiranya hampir tamat tempoh, banyak kegunaannya!

Berikut kami kongsikan Resepi Roti Marble berdasarkan hantaran yang dimuat naik di kumpulan Facebook milik PD Bandar Baru Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Bahan-bahan

  • Roti
  • Susu cair
  • Susu pekat
  • Telur
  • Agar-agar tali
  • Mentega
  • Gula
  • Esen vanila
  • Pewarna

Langkah-langkah:

1. Potong roti putih kecil-kecil kepada enam bahagian.

2. Kemudian, kisarkan roti bersama satu tin susu cair, sesuku tin susu pekat dan dua biji telur.

3. Masukkan enam cawan air ke dalam periuk dan tambahkan 20 gram agar-agar tali.

4. Masakkan aga-agar tersebut sehingga larut sebelum tambahkan tiga sudu besar gula dan setengah sudu besar esen vanila.

5. Kemudian, tuangkan bahan-bahan yang sudah dikisar sebentar tadi ke dalam periuk sama.

6. Setelah itu, tambahkan dua sudu besar mentega sebelum kacau dengan sebati dan sambung masak untuk seketika.

7. Apabila sudah masak, tuang dan agihkan bancuhan tersebut kepada tiga bahagian atau ke tiga mangkuk yang berlainan.

8. Masukkan pewarna berlainan mengikut pilihan anda sendiri ke dalam ketiga-tiga mangkuk berkenaan.

9. Tuangkan bancuhan ke dalam loyang mengikut kreativiti anda dan letakkannya ke dalam peti sejuk selama satu jam.

10. Selepas satu jam, Puding Roti Marble anda sudah siap dan boleh dipotong. Teksturnya dijamin padu apabila dimakan.

Baca juga: Tak sangka robot vacuum jadi punca, Yana Samsudin dikejarkan ke hospital kerana masalah ini