Malaysia Dateline

‘Jangan campur urusan Islam dengan bertopengkan hak asasi manusia’

Satu-satunya wakil dari parti politik dalam Kongres Maruah Melayu hari ini mendesak agar sejumlah pertubuhan tidak mencampuri urusan agama Islam.

Ahli Parlimen Pas Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan agar hak asasi manusia tidak dijadikan alat dalam mencampuri urusan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Mendesak Suhakam, Majlis Peguam, NGO Liberal, dan badan lain tidak mencampuri urusan agama Islam dengan bertopengkan kepada hak asasi manusia,” tegasnya.

Naib Ketua Pemuda Pas itu turut mengingatkan orang Melayu yang beragama Islam mesti menerajui jawatan utama kepimpinan negara dan negeri iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Beliau juga mahu supaya penganut Islam beraliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah juga bagi mengisi jawatan di Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri serta pihak berkuasa negeri.

“Jangan dilanggar lampu merah. Jika dilanggar, berat padahnya,” amaran Ahmad Fadhli lagi.