Malaysia Dateline

‘Jangan cantas pucuk tapi mulakan dari akar’ – Ringgit merudum, harga barang dibimbangi makin naik

Kerajaan dinasihatkan supaya mengekang kenaikan harga barangan ekoran nilai ringgit yang dilaporkan merudum pada kadar terendah.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berpendapat situasi ringgit yang lemah mempengaruhi harga barang memandangkan Malaysia mengimport kira-kira RM50 bilion produk makanan.

“Kawal harga barang bukan salahkan peniaga saja,” kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu menerusi ciapan di Twitter.

Rafizi Ramli

Penegasan tersebut juga dipersetujui orang ramai antaranya, Gerard Swinin yang berkata, “Jangan cantas pucuk tetapi mulakan dari akar”.

Untuk rekod, Malaysia mengimport RM55.5 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion pada 2020 mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Nilai import makanan terkumpul pula berjumlah RM482.8 bilion dalam tempoh 10 tahun, berbanding eksport berjumlah RM296 bilion.

Dalam masa sama, orang ramai juga berkongsikan realiti hidup mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Pengguna Twitter @ab_zue berkata, beliau tidak dapat meneruskan perniagaan kedai makan yang diusahakannya sebelum ini akibat kos bahan mentah yang makin melambung.

“Dulu sebelum PKP saya ada kedai makan kecil jual sup tulang tapi bermula PKP saya tutup kedai dan sampai sekarang masih tak berani nak buka.

“Dua tahun PKP cuma ambil order dan masak di rumah. Bolehlah buat duit belanja sikit. Tapi sekarang harga tulang 1 kg hampir RM35 berbanding sebelum ini RM22,” ujarnya.

Tidak kurang juga yang memberitahu terpaksa melakukan dua pekerjaan demi meraih lebih pendapatan.

“Saya terpaksa buat dua kerja sekarang. Satu Das Abdul, satu dengan Coway. Bolehlah sesiapa nak beli bantal atau nak pasang Coway. Hubungilah saya.

“Tak cukup satu income saja sekarang. Kerajaan perlu melakukan tindakan agresif. Kesian rakyat macam saya,” kata @SueVmc.

Sementara itu, @tigera6990 berpendapat pihak pengguna di negara ini selalu berada di pihak yang rugi manakala peniaga masih untung walaupun mereka dikatakan mengalami kerugian.

“Kami para pengguna sentiasa rugi kerana kos sara hidup makin tinggi dan pendapatan makin rendah.

“Majikan pula berdolak dalik untuk naik gaji,” tambahnya yang berharap kerajaan perlu menangani masalah keseimbangan pendapatan.

Kelmarin, ringgit dilapor berada pada paras terendah dalam 24 tahun iaitu sejak krisis kewangan Asia pada 1998.

Baca juga Ketika bertalu desakan minta segera PRU-15, ringgit cecah paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998

Baca juga Makan nasi guna kuku, netizen loya tekak lihat wanita ini