Malaysia Dateline

Jangan cemarkan Hari Gawai dengan kluster baharu, kata AMANAH Sarawak

Parti AMANAH Negeri Sarawak mengingatkan kepada seluruh masyarakat Dayak yang menyambut perayaan Hari Gawai esok terus mengamalkan operasi standard prosedur (SOP) yang telah ditetapkan.

Naib Pengerusi II AMANAH Sarawak, Maxwell Rojis berkata, dengan mengikut garis panduan yang disediakan, adalah diharapkan tiada kluster Gawai yang wujud selepas sambutan itu nanti.

Katanya, kebanyakan kes Covid-19 yang meningkat setakat ini adalah disebabkan aktiviti ziarah semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri dua minggu lalu.

“Justeru, saya berharap agar sambutan Hari Gawai esok tidak tercemar dengan kewujudan kluster baharu.

” Ia sangat menakutkan apabila melihat kes yang berlaku ketika ini semakin naik gara-gara aktiviti kunjung-mengunjung pada Hari Raya Aidilfitri lepas, ” ujarnya yang juga merupakan anak kelahiran Iban dari Sebuyau, Simunjan.

Tegas beliau, dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah mula dikuatkuasakan di seluruh Sarawak sejak 29 Me hingga 11 Jun depan, masyarakat Dayak yang menyambut Hari Gawai kali ini diingatkan supaya berhati-hati dengan tidak melanggar SOP yang ditetapkan.

“Bersama kita patuhi SOP dan sambutlah perayaan hanya dengan keluarga terdekat masing-masing sahaja.

“Lebih-lebih lagi, kita kini dalam keadaan ‘lockdown’ kerana keadaan amat kritikal, maka kita jangan ziarah-menziarahi saudara mara dahulu,” tambahnya.

Selain itu, katanya lagi, sebagai bangsa Dayak terutamanya kepada generasi baharu agar terus mengekalkan budaya dan adat yang diwarisi.

“Ini adalah realiti yang mana kaum Dayak amat kaya dengan adat dan budaya. Tiada alasan untuk kita mencemarkan perayaan dengan cara yang buruk.

“Justeru, nasihat saya kepada seluruh masyarakat Dayak agar bersama-sama membataskan pergerakan kita ketika ini,” jelasnya.

Maxwell turut menasihat supaya keluarga yang berada di bandar untuk tidak pulang ke rumah panjang atau kampung buat masa ini bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Kita di bandar, jangan pulang ke rumah panjang atau kampung manakala mereka yang di rumah panjang jangan pergi ke rumah panjang lain.

“Setiap rumah panjang mesti ada mekanisme dan SOP. Laksanakan SOP dengan serius dan ketat sebagai peraturan dan undang-undang rumah panjang,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mewakili AMANAH Sarawak untuk menzahirkan ucapan Selamat Hari Gawai kepada semua masyarakat Dayak di Sarawak atau di peratauan.

“Ingatlah..kita jaga kita, duduk di rumah, kita pasti selamat dan Selamat Hari Gawai Dayak,” tambah Maxwell.