Malaysia Dateline

Jangan cetak pendakwah dan ulamak segera, kata pendakwah

Para penganjur program realiti agama diberikan ingatan agar jangan menjadikan program mereka sebagai ‘pencetak pendakwah dan ulamak segera’.

Ingatan ini diberikan oleh Ustaz Ahmad Shukri Yusoff (gambar), Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan yang juga personaliti dakwah terkenal.

Ingatan ini diberikan ekoran pelbagai laporan polis dibuat terhadap seorang ‘pendakwah’ yang dilahirkan melalui program TV ini atas dakwaan merogol dan khalwat.

Pendakwah selebriti yang didakwa merogol seorang gadis pada tahun lalu, ditahan polis 26 November lepas bagi membantu siasatan.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan jam 11 malam selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Ekoran tangkapan itu, pelbagai laporan polis dibuat oleh pihak lain yang mengaku turut menjadi mangsa pendakwah segera itu.

Bagi Ahmad Shukri, pendakwah dan ilmuan tidak boleh dilahirkan dalam masa yang sekejap tetapi perlu melalui proses yang panjang.

“Pada pandangan saya untuk menjadi pendakwah dan ilmuan ia memerlukan masa yang panjang,” tulis beliau.

Katanya, dunia pendakwah dan penyampaian ilmu bukan satu dunia ‘glamour’ tapi ia merupakan satu amanah berat yang perlu dipikul.

Beliau bersetuju, program-program realiti agama telah melahirkan ramai ustaz dan ustazah segera.

“Tapi saya percaya tujuan asal rancangan tersebut diwujudkan adalah untuk menyemarakkan lagi program agama dan mencetus minat anak muda untuk menjadi pendakwah.

“Tetapi ia bukan pencetak pendakwah dan ulamak segera,” kata beliau.

Katanya, seusai program tersebut anak muda perlu mendalami ilmu agama, berguru dan meluaskan bacaan sesuai dengan peningkatan umur mereka.

Di samping itu, katanya, mereka hendaklah sentiasa berusaha memperbaiki diri dalam membina kemuliaan peribadi kerana ia merupakan syarat penting untuk menjadi pendakwah.