Malaysia Dateline

Jangan dabik dada dengan RM300 ribu hakikatnya tidak mampu pun bantu rakyat, bidas Pemuda Umno

Cukup-cukuplah berpolemik mengenai ‘Bendera Putih’ dan fokus untuk sama-sama membantu rakyat yang memerlukan,” demikian kata Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, inisiatif ‘Bendera Putih’ sedikit sebanyak memberikan pengharapan kepada rakyat yang terdesak dan tertekan meminta pertolongan.

Pada masa sama katanya membantu pihak yang mahu menghulurkan bantuan menyumbang kepada mereka yang amat memerlukan dengan lebih efektif.

“Jadi semua pihak harus berganding bahu saling membantu tanpa meremehkan mahupun menafikan sumbangan mana-mana pihak,” katanya di hantara Facebook hari ini.

Bagaimanapun, beliau membantah sesetengah pihak yang meremehkan usaha pihak lain yang ingin membantu dengan memaparkan poster mempertikaikan inisiatif ‘Bendera Putih’.

“Mendabik dada dengan RM300 ribu yang hakikatnya tidak akan mampu memenuhi keperluan semua pihak, hanyalah menggambarkan keangkuhan dan kesombongan!

“Persoalan paling asas, cukup ke RM 300 ribu yang disalurkan kerajaan kepada setiap Parlimen?” katanya.

Berasaskan pengalaman Pemuda Umno katanya setakat ini di 191 Parlimen yang cuba menggerakkan bantuan setakat termampu, jika satu bakul makanan dengan anggaran kos RM50 (beras 5 kilo, gula, milo, minyak masak dll), maka peruntukan RM 300 ribu hanya boleh membantu 6,000 orang sahaja.

“Macam mana RM300 ribu ini mampu menampung satu Parlimen yang rata-rata mempunyai penduduk lebih daripada 100 ribu orang?

“Contohnya di Parlimen luar bandar seperti Pasir Puteh sahaja ada lebih 100 ribu, di kawasan bandar seperti Ampang hampir 500 ribu,” katanya.

Terkini ada yang mengatakan tidak perlu pun menaikkan bendera putih kerana Kerajaan PN telah beri perunyukan RM300 ribu kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk membantu rakyat di kawasan parlimen masing-masing.

Rakyat hanya perlu tuntut bantuan bakul makanan kepada Ahli Parlimen Kawasan.