Jangan di mimbar khutbah kata PH mesra LGBT, tegas Mujahid

Undang-undang di negara ini melarang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mengamalkan gaya hidup mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menurutnya, negara mempunyai peruntukan undang-undang sivil untuk kesalahan persetubuhan luar tabii iaitu Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Undang-undang syariah pula, katanya, memperuntukkan Enakmen Jenayah Syariah Seksyen 25, 26 dan 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan bagi kesalahan liwat, musahaqah (lesbian) dan lelaki berlagak seperti perempuan.

“Ini bermaksud dan saya perlu ulang ini supaya semua orang dengar baik-baik. Balik nanti jangan putar cakap saya, tolong catit ya.

“Hak komuniti LGBT untuk mengamalkan gaya hidup mereka masih tertakluk pada undang-undang yang tidak dibenarkan.

“Jelas ya? Jangan di mimbar khutbah kata, kerajaan Pakatan Harapan ini mesra LGBT dan sebagainya. Kita ada laporan semuanya” jelasnya di Dewan Rakyat menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) hari ini.

Ahmad Nazlan dalam soalannya ingin tahu adakah kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap penularan budaya songsang LGBT yang semakin membimbangkan.

Menurut Mujahid, peruntukan Perlembagaan bagaimanapun menyatakan komuniti LGBT tidak boleh ditindas.

“Pada masa sama hak asasi manusia sentiasa dipelihara berdasarkan acuan adat dan budaya yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Golongan LGBT ini tak boleh ditindas di tempat kerja, tidak boleh dianiaya dan tidak boleh dizalimi,” tegasnya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, statistik menunjukkan 80 peratus golongan mak nyah terlibat dalam industri seks.

“Kalau kita mendiskriminasi mereka di tempat kerja, maka mereka akan terus berada dalam industri ini sedangkan kerajaan PH berhasrat mengeluarkan mereka dari industri itu,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan juga menggunakan pendekatan mendidik, bukan menghukum untuk memulihkan golongan LGBT.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kerana paling aktif dan efektif dalam program mereka menyantuni golongan LGBT.

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 9.3