Jangan diskriminasi transgender, berilah mereka peluang, kata Mujahid

Jangan diskriminasi transgender, berilah mereka peluang, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa menggesa masyarakat hari ini agar tidak mendiskriminasikan golongan transgender sebaliknya memberikan mereka peluang kerana mereka juga merupakan warganegara.

Bercakap kepada media, Mujahid berkata golongan ini mempunyai hasrat untuk menyumbang dan menjadi sama seperti orang lain yang mendapat hak pendidikan, akses sama rata terhadap kesihatan bahkan beribadah dan pergi ke mana-mana di tempat awam.

“Janganlah diskriminasi mereka dan berilah mereka peluang kerana mereka juga adalah rakyat negara ini, mereka juga mahu terlibat dalam masyarakat, mereka mahu ke sekolah, termasuklah juga ibadah,” katanya pada sidang media petang semalam di Putrajaya.

Katanya, apa yang paling penting kerajaan akan membantu golongan ini keluar daripada masalah yang lebih besar supaya mereka tidak terus terjerumus ke lembahan kehinaan.

“Apabila mereka duduk dalam suasana diskriminasi sama ada di tempat kerja mereka akan kembali ke lembah kehinaan. Itu perkara pertama kita kena lakukan, kerana mereka sering menjadi mangsa sebab mereka tidak dapat lari daripada penampilan mereka,” katanya.

Menteri hal ehwal agama itu berkata menurut kajian, 80 peratus golongan transgender terjebak dalam aktiviti pelacuran.

Mujahid berkata demikian selepas mengadakan pertemuan selama 40 minit dengan Nisha Ayub, yang mewakili golongan transgender.

Katanya, pertemuan dijalankan susulan isu penurunan gambar Nisha yang dipamerkan pada Festival Georgetown di Pulau Pinang itu juga membuka ruang bagi pihaknya mendekati golongan berkenaan.

“Menurut Nisha, beliau tidak mengetahui gambarnya dipamerkan di Festival tersebut (sehinggalah perkara itu tular) dan beliau menegaskan beliau bukanlah daripada kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) atau aktivis malah tidak suka dilabelkan sebagai LGBT,” katanya.

Mujahid berkata pada pertemuan tersebut, Nisha menceritakan mengenai diskriminasi yang dihadapi golongan itu terutamanya ketika di kawasan awam dan tempat kerja.

“Golongan transgender tidak menuntut untuk perkahwinan sesama jenis, yang minta adalah LGBT…oleh itu kasihan kerana mereka ditindas di tempat kerja dan ketika ke klinik mereka tidak mendapat layanan sewajar yang akhirnya mereka tidak bekerja lalu terjebak menjadi pekerja seks,” katanya.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote