Malaysia Dateline

Jangan gadai pembelajaran anak-anak kerana Covid-19, kata pakar

Adalah tidak wajar untuk menangguhkan pembelajaran dan persekolahan semata-mata berdasarkan angka-angka keseluruhan kes Covid-19 dan menggadaikan masa depan mereka berdasarkan tanpa berdasarkan data kanak-kanak.

DR ZAIDI… Pakar Perubatan Kanak-kanak.

Pakar perubatan kanak-kanak, Dr Zaidi Zakaria berkata, menangguhkan persekolahan dan institusi pendidikan serta universiti bukan kaedah normal baharu bagi menghadapi pandemik Covid-19 dari aspek kesihatan dan perubatan.

“Mengapa persekolahan dan pendidikan wajar diteruskan menjadi persoalan yang harus diberikan jawapan segera oleh kerajaan,” kata beliau.

Malahan, katanya, di kalangan kanak-kanak yang berusia antara 0-18 tahun positif Covid-19 adalah 20 peratus dari keseluruhan kes di Malaysia, manakala kes paling muda adalah bayi yang baru lahir apabila ibunya adalah pengidap Covid-19.

Dr Zaidi yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang berkata, kes kematian pertama kanak-kanak dalam negara ini berlaku pada 5 Oktober yang berusia 1 tahun di Sabah adalah selepas ‘tsunami’ Covid-19 di sana.

“Selepas kumpulan kanak-kanak, kematian paling muda di Malaysia adalah gadis yang merupakan seorang mahasiswa berusia 23 tahun di Sarawak.

“Data statistik dari U. S. Centre for Diesease Control and Prevention Amerika pula menunjukkan sehingga 12 Oktober 2020, lebih 7.99 juta kes Covid-19 dan 219,695 kematian dilaporkan di Amerika kurang 10 peratus atau 657,572 kes adalah dikalangan kanak-kanak berusia antara 0-18 tahun.

“Jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dan kematian disebabkan Covid-19 adalah bukan suatu kebiasaan atau ‘uncommon’ dan berdasarkan statistik ‘incidence & prevalence’ kes positif Covid-19 di kalangan kanak-kanak tersebut menunjukkan ianya rendah dan kadar morbiditi dan mortalitinya sangat renda, “ujar beliau.

Tambah beliau, kanak-kanak yang sihat dan tidak mempunyai apa-apa latarbelakang penyakit kebiasaannya, asytomatik atau ‘mild illness’ sahaja yang pulih sepenuhnya tanpa komplikasi dan data-data CDC tersebut menunjukkan majoriti tidak perlu dimasukkan ke hospital.

Sehubungan itu katanya, Malaysia perlu mendapatkan data statistik Covid-19 di kalangan kanak-kanak yang menyeluruh dan komprehensif sebelum membuat keputusan menangguh persekolahan berbulan-bulan lamanya.