Malaysia Dateline

Jangan gadaikan maruah umat di meja judi

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR menegaskan tindakan melibatkan wang umat Islam khususnya melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam isu pinjaman tanpa cagaran melibatkan tiga bank utama kepada Genting Hong Kong adalah tidak wajar.

Pengerusinya, Amidi Abdul Manan berkata, keyakinan bahawa industri judi akan memberikan jaminan pulangan yang besar sehingga sanggup memberikan pinjaman tanpa cagaran merupakan suatu ‘akidah’ atau keyakinan songsang yang bercanggah dengan semangat ayat 90 surah Al-Maidah.

“Pihak BIPPA menyeru agar umat Islam di Malaysia bangkit menyatakan bantahan bagi sikap sebegini yang jelas bertentangan dengan ajaran Al-Quran.

“Para ulama dan ilmuan Islam mesti secara jelas memperlihatkan sikap yang tegas dan keberanian yang jelas agar kemungkaran sebegini tidak akan berulang dan berleluasa,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Tiga bank Malaysia termasuk Maybank dilapor sebagai antara ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong, dengan gabungan pendedahan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Khazanah Nasional, KWSP dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pemegang saham dalam bank-bank terbabit.

Sehubungan itu, Amidi berkata, BIPPA menuntut pendirian dan tindakan daripada pihak kerajaan bagi menyelamatkan maruah Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.