Malaysia Dateline

Jangan gelojoh rambang mata cari kerusi PRU 15

Hasrat Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin yang kini berada bersama Bersatu dan telah menzahirkan cadangan ingin bertanding sama ada di Shah Alam atau Permatang Pauh disifatkan sebagai gelojoh dan tamak oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Permatang Pauh, Fahmi Zainol.

Kata Fahmi, Adun Bersatu tersebut jarang kelihatan di kawasan dan banyak masalah kawasan diselesaikan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

“Mandat yang telah diberikan oleh pengundi Seberang Jaya gagal untuk dijaga dengan baik selepas mengkhianati pengundi apabila melompat parti bersama Bersatu.

” Sebagai Ahli Parlimen, Nurul Izzah, secara konsisten mengangkat isu-isu setempat dan ini telah dibuktikan melalui Kajian Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh apakala kajian pasca Covid-19 di Malaysia membuahkan hasil sehingga Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) terkini disemak semula mengambil kira dimensi yang ketersisihan.

“Persoalannya disini, siapakah sebenarnya tidak komited, apabila rambang mata mencari kerusi yang memungkinkan yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula keciciran dan adalah diyakini pengundi Seberang Jaya dan Permatang Pauh bijak membuat penilaian selama ini,” ujar Fahmi yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan.

Baca juga: AMANAH sokong semua parti pembangkang bersama Pakatan Harapan, tetapi tidak Bersatu dan Pas