Malaysia Dateline

Jangan gopoh sangat, tunggu PRU15, kata warganet

Rata-rata warganet menempelak sikap Umno-BN yang dilihat mulai mendabik dada dengan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.

Antaranya, Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) menawan 21 daripada 28 kerusi DUN itu adalah bukti kebangkitan rakyat menerima semula parti tersebut.

“Ini amat kita rasa terharu, ia datang dengan tanggungjawab dan amanah. Ini suatu kebangkitan, di mana-mana tempat dengan sesi pertemuan pengundi, saya selalu sebutkan sejarah tanah air bermula di Melaka.

“Saya yakin Melaka akan jadi titik permulaan kebangkitan Umno dan BN dalam menambat hati rakyat… kestabilan membawa kemakmuran kepada semua,” lapor Astro Awani di Command Centre BN di Ayer Keroh semalam.

Sehubungan itu, netizen berpendapat keputusan PRN Melaka bukan gambaran sebenar kehendak majoriti rakyat negara ini.

“Tunggulah jangan gopoh sangat. Anak muda di luar tak pulang ke desa, PRU15 barulah anak muda pulang. Di situlah baru boleh buat ukuran,” kata pengguna Facebook, Pak Ibnu.

Hal sama disuarakan Mohd Ali, “Setakat PRN Melaka saja buat apa buang masa. Cuba PRU15 cepat kita tengok sehebat mana Umno boleh menang.”

Ramai juga yang menyifatkan salahguna kuasa dan penyelewengan akan kembali ‘subur’ selain mempersoal kewajaran pengundi Melaka masih terus memilih BN.

“Parti yang tiada integriti, rasuah berleluasa, kluster mahkamah yang mengelak untuk dibicarakan, masih juga dipilih oleh rakyat Melaka,” kata Noraini Hj Manan.

Sementara itu, Mohd Yusof Abdul Aziz mengulas ringkas, “Aktiviti merompak boleh disambung semula.”

Tidak kurang yang menyindir dengan menjangkakan kerja-kerja pengorekan pasir dan projek penambakan laut di Melaka akan beroperasi kembali.

“Tolong park elok-elok jentera pengorek pasir ya. Jangan halang orang ramai nak berenang, please,” sinis Hamzahh Rie Na.

Kemenangan BN dalam PRN Melaka juga dianggap sesetengah warganet sebagai titik mula untuk kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 secara ‘one-off’.

“Kemenangan BN titik kebangkitan untuk i-Citra, i-Sinar dan i-Lestari 2.0 = RM10,000 x3 = 30,000,” kata Ma Yel.