Malaysia Dateline

Jangan guna alasan kuno untuk nafi hak pengundi 18, kata wanita AMANAH

Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan usia matang anak muda sehingga menyekat kelayakan mereka untuk mengundi.

Ketua AWAN Terengganu, Hamidah Ali berkata, tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan undi 18 dianggap memalukan kerana beberapa negara Asean sudah pun memberikan rakyat mereka yang berumur 18 tahun untuk mengundi.

Katanya, Malaysia sebagai negara Islam dilihat tidak memberi contoh yang lebih baik kepada masyarakat dunia, malah memperlekehkan lagi golongan belia.

“Kita tidak boleh ketinggalan dalam perkara ini, Undi 18 perlu dilaksanakan. Tidak usahlah menggunakan alasan kuno untuk menafikan hak seorang warganegara untuk memilih.

“Kerajaan juga harus memperkasakan sistem pendidikan negara supaya boleh melahirkan pemilih yang bijak, namun itu tidak bermakna perlu dihalang remaja berusia 18 tahun untuk mengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Hamidah mengakui terkejut apabila usia 18 tahun dipertikai tidak matang oleh sesetengah pihak, walhal terdapat parti di dalam kerajaan yang membenarkan keahlian mereka dibuka kepada anak muda seawal usia 13 tahun.

Justeru, beliau menyeru agar kaum wanita dan setiap warga yang mahukan demokrasi negara menjadi lebih matang, menghantar mesej agar Undi 18 tidak diperkotak katik oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.