Salinan nota terpapar ugutan ‘jangan cabar Islam’ telah menimbulkan kebimbangan kepada ibu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.
Difahamkan, wanita berusia 76 tahun itu mula menyedari terdapat banyak kertas di halaman rumahnya di Ayer Tawar, Perak ketika mengambil surat khabar pada jam 7.30 pagi.
Menyangka kertas putih bersaiz A4 itu hanya sekadar lampiran kosong, warga emas terbabit kemudian keluar semula ke halaman rumah beberapa jam selepas itu untuk membersihkannya.
Namun alangkah terkejutnya warga emas itu setelah mendapati kertas putih tersebut sebenarnya mengandungi nota berbaur ugutan terhadap anak lelakinya, lapor Harian Metro.
“Kira-kira jam 9.30 pagi saya keluar untuk menyapu kertas itu. Namun saya dapati terdapat tulisan berwarna merah yang tertera ‘Nga Kor Ming jangan cabar Islam’.
“Ada kira-kira 40 helai kertas dan semuanya tertera nota yang sama. Susulan itu, saya dan suami membuat laporan di Balai Polis Ayer Tawar,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Merasa keselamatannya terancam, ibu kepada Nga yang turut memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan itu mengakui kejadian sedemikian bukanlah kali pertama berlaku.
Namun beliau dan suaminya yang sudah berusia 86 tahun itu mahukan kehidupan tenteram seperti orang lain dan berharap tidak dijadikan sasaran politik kebencian.
“Kami hidup secara low profile (tidak menonjolkan diri) tetapi kejadian seumpama ini turut pernah berlaku beberapa tahun lalu. Politik adalah politik, tolonglah jangan gunakan cara begini untuk ugut orang tua.” Ulasnya.
Menurut laporan Sin Chew Daily, Nga Kor Ming yang kini berada di Hong Kong atas urusan rasmi itu mengatakan perkara tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Manjung iaitu Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada ibu Nga berhubung kejadian itu pada jam 10.15 pagi.
Jelasnya Mohd Nordin, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui suatu bentuk komunikasi tanpa nama.
Jika disabitkan kesalahan, pelaku hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.