Malaysia Dateline

Jangan guna alasan Covid-19 halang pembangkang bersemuka dengan rakyat

Prosedur operasi standard (SOP) mesti adil kepada semua dan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk menghalang pembangkang bersemuka dengan rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kelonggaran SOP bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diberi termasuk kebenaran kempen secara bersemuka.

“Hari ini, semua yang hadir (program pelancaran jentera Pakatan Harapan) ikut SOP Covid-19, kita lihat ada penjarakan seperti mana ditetapkan, tapi ada pihak yang tak ikut, mereka boleh buat (langgar) sewenang-wenangnya dan hanya kena denda RM1,000 sahaja.

“Kalau boleh langgar (SOP) sesuka hati, mengapa tak boleh ceramah dalam PRN Johor, mesti adil kepada semua.

“Jangan ambil kesempatan guna Covid-19 untuk halang pembangkang bersemuka dengan rakyat,” katanya.

Gesaan bekas Menteri Kewangan itu diulangi pada sidang media selepas pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan menegaskan kerajaan perlu menangguhkan PRN Johor buat masa ini bagi memastikan keadaan benar-benar selamat jika penularan Covid-19 serius.

“SOP serius apabila Covid-19 serius, (tetapi) SOP tidak (diambil) serius, bermakna Covid-19 (juga) tidak serius.

“Harap longgarkan (SOP PRN) kerana kalau benar-benar serius, lebih baik tangguhkan dahulu PRN Johor, jangan main-main dalam perkara ini,” katanya.

Guan Eng berkata, tindakan tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) yang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP menimbulkan persoalan mengenai keseriusan kerajaan melawan pandemik Covid-19.