Malaysia Dateline

‘Jangan guna kejatuhan seseorang untuk bergelak ketawa’, nasihat selepas Najib dipenjara ini tarik perhatian netizen

“Jangan kita gunakan kejatuhan seseorang untuk bergelak ketawa,” kata Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari sambil menekankan ungkapan itu berdasarkan dalam sebuah hadis.

Kenyataan Fadhli menerusi hantaran di Facebook sejurus keputusan mahkamah mengekalkan hukuman ke atas Najib Razak itu dilihat hanya mengundang cemuhan netizen.

“Bertakwalah saudara. Jangan memanipulasi hadis Nabi yang mulia,” kata Mohd Asri Omar manakala Muhammad Azimuddin menulis, “Memalukanlah ustaz”.

Sementara itu, Allif Aman berpendapat peristiwa pengangkapan Najib semalam bukanlah kemenangan kepada sesiapa.

Sebaliknya, hukuman penjara ke atas bekas Presiden Umno itu mulai semalam hanyalah rentetan bencana yang negara alami hasil daripada kehilangan dana negara melalui 1MDB.

“Wang yang hilang tidak akan kembali. Apapun, hasil pertemuan ulama-ulama ‘ana’ dengan 1MDB, ulama-ulama ‘ana’ berpuas hati dengan laporan 1MDB,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menulis panjang lebar hadis yang dimaksudkannya seperti berikut:

“Pada suatu hari, seorang pemuda Quraisy berkunjung kepada Aisyah, isteri Rasulullah, ketika dia sedang berada di Mina. Kebetulan saat itu para sahabat sedang tertawa, hingga Aisyah merasa hairan dan sekali gus bertanya: Mengapa kalian tertawa?

“Mereka menjawab: Si fulan jatuh menimpa tali khemah hingga lehernya (atau matanya) hampir lemas. Aisyah berkata: Janganlah kalian tertawa terbahak-bahak kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Tidaklah seorang muslim tertusuk duri atau yang lebih kecil dari itu, melainkan akan ditulis baginya satu darjat dan akan dihapus satu kesalahannya. [HR Muslim 4664]

“Imam Nawawi apabila mensyarahkan hadis ini mengatakan larangan bagi seorang muslim untuk mentertawakan orang lain disebabkan kejatuhannya melainkan jika dia tertawa tanpa sengaja (seperti seseorang yang tiba-tiba tergelincir jatuh di hadapan kita dan kemudian tidak sengaja kita tertawa).”

Ahmad Fadhli Shaari

Baca juga Najib malam ini di penjara tapi orang ramai riuh pula ‘usik’ Presiden Umno

Baca juga Warga China makin kurang beranak, Covid-19 jadi punca