Malaysia Dateline

‘Jangan guna nama saya kaitkan dengan calon bertanding’, kata Mahathir

Pengerusi Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau tidak menyokong mana-mana parti politik dan mana-mana calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata demikian dan merujuk kepada calon Bebas yang bertanding dalam PRN kali ini tetapi tidak menyebut khusus nama individu berkenaan.

“Saya dapat tahu ada sesetengah pihak cuba kaitkan Pejuang dan saya dengan individu tertentu yang bertanding sebagai calon bebas.

“Ingin ditegaskan sekali lagi, Pejuang dan saya tidak menyokong sesiapa di dalam PRN Melaka jauh sekali meletak calon proksi.

“Saya harap dengan penjelasan ini tidak lagi ada sesiapa yang akan cuba kaitkan saya, mahupun Pejuang dengan mana-mana calon yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, seramai 22 calon Bebas mempertaruhkan nasib bertanding dalam PRN Melaka.

15 calon bebas bersetuju berada di bawah satu gabungan dan mewujudkan Gagasan Bebas.