Jangan guna Pulau Batu Puteh menangi hati rakyat PRU14

Jangan guna Pulau Batu Puteh menangi hati rakyat PRU14

Kerajaan diingatkan agar tidak menjadikan isu tuntutan semula Pulau Batu Puteh hanya sebagai propaganda untuk memenangi hati rakyat bagi menghadapi pilihan raya raya umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, tuntutan kali ini perlu lebih serius supaya apa yang dilakukan pada tuntutan sebelum ini tidak berulang dan sekaligus mengagalkan usaha sehingga terlepasnya pulau tersebut kepada Singapura.

“Kerajaan juga perlu menyediakan pakar dalam pelbagai bidang terutamnya sejarah.

“Saya pernah bertemu dengan Allahyarham Datuk Dr. Nik Anuar Nik Mahmud (tokoh sejarah terkenal tanah air) yang menyatakan kegagalan sebelum ini adalah disebabkan kurang persediaan dalam tuntutan pulau tersebut,” katanya.

Salahuddin menegaskan keputusan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak hanya bergantung kepada undang-undang tetapi pembuktian dokumen sejarah juga adalah faktor terpenting.

Justeru katanya, Amanah bersedia menghulurkan tangan membantu sebarang usaha mendapatkan semula Pulau Batu Puteh dan sekali lagi berjaya memulangkan kedaulatan negara.

Minggu lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan berkata Malaysia telah memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge).

Permohonan semakan semula itu yang difailkan di ICJ, The Hague, Belanda pada Khamis, adalah susulan penemuan tiga dokumen di National Archives of the United Kingdom.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia dan Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh di Johor.

COMMENTS

Wordpress (0)